Suspek dikehendaki dalam kes bunuh iaitu Perkas Rao berjaya ditahan reman di Mahkamah Klang pagi tadi.Ihsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang suspek lelaki yang sangat dikehendaki dalam satu kejadian kes bunuh yang berlaku Bandar Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, identiti suspek dikenal pasti sebagai Perkas Rao Bathumalai@Rider berusia 41 tahun.

“Pada 27 Mei lalu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dalam kejadian bunuh itu merupakan seorang lelaki warga tempatan yang berumur 34 tahun yang telah dipukul oleh suspek (Perkas Rao) di sebuah rumah di Taman Sentosa Utama, Klang dalam kejadian pada 26 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah beliau, akibat kejadian itu mangsa telah mengalami 27 kesan kecederaan pada seluruh badannya dan patah tulang kaki kiri.

Dalam pada itu katanya, pakar forensik yang membedah siasat mayat simati di hospital Klang mengesahkan bahawa punca sebenar kematian mangsa adalah disebabkan oleh Massive Soft Tissue Injury Due to Blunt Force Trauma.

“Bagi membantu siasatan kes bunuh ini, polis kini dalam usaha mengesan suspek lelaki berkenaan Perkas Rao yang masih bebas di luar sana.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah dal dua rekod jenayah dadah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini dan juga suspek dikehendaki agar diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03- 3376 2222 atau tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.-MalaysiaGazette