KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bantahan terhadap permohonan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk menentukan persoalan undang-undang berhubung Pengampunan Diraja yang diberikan kepada Presiden PKR itu.
Pengampunan itu telah diberikan kepada Anwar pada 16 Mei 2018 iaitu kira-kira lima tahun lepas.
Perdana Menteri telah memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah ekoran saman yang difailkannya terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan beliau dengan perlakuan tidak bermoral.
Muhammad Sanusi telah memohon kepada mahkamah untuk menentukan persoalan fakta sama ada pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar adalah pengampunan penuh, yang bukan sahaja mengetepikan keseluruhan hukuman yang sedang dijalani.
Pemimpin tertinggi Pas itu juga memohon tentang persoalan undang-undang, sama ada sesuatu pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berupaya mengetepikan sabitan jenayah.
Untuk makluman permohonan Muhammad Sanusi itu adalah berkaitan kes saman fitnah difailkan Anwar terhadapnya pada 13 Disember tahun lalu, berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Ahli Parlimen Tambun dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun.
Anwar dalam afidavitnya menyatakan permohonan Sanusi bagi menentukan persoalan itu adalah di luar bidang kuasa mahkamah dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas.
Selain itu Anwar juga mendakwa pelbagai kes diputuskan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong.
“Selaras dengan pengampunan itu, saya diampunkan secara penuh dan segala keburukan ke atas diri saya, termasuk rekod mahkamah adalah diketepikan dan apa-apa kenyataan yang menyentuh perkara sama adalah fitnah serta boleh diambil tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, peguam bela Muhammad Sanusi, Yusfarizal Yusoff berkata, pengurusan kes ditetapkan 28 Jun di Mahkamah Tinggi Alor Setar. -MalaysiaGazette