Gambar hiasan

MELAKA – Pemilik tadika swasta kerugian lebih RM1 juta dalam kes penipuan pelaburan tidak wujud akibat termakan janji manis seorang lelaki yang baharu 11 hari dikenali secara dalam talian.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kejadian bermula apabila pengadu iaitu wanita berusia 53 tahun itu yang menggunakan akaunnya di Instagram ditag oleh suspek, seorang lelaki Taiwan nama Tan Sau Fung pada 27 April lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa kononnya menetap di Jepun dan sedang mencari pelabur dalam satu perniagaan membeli barangan di dalam laman web https://everythingmallx.cc/ yang kononnya berpejabat di Amerika Syarikat.

“Sebelum mempelawa wanita itu, mereka saling berhubung melalui talian Lime dan berkomunikasi secara lisan dan SMS menyebabkan hubungan semakin rapat.

“Kemudian pada 7 Mei, suspek telah menawarkan pengadu supaya melabur dengan membeli barang di dalam laman web terbabit yang mana pengadu perlu membeli dahulu barangan yang dipilih pelanggan sebelum menjual semula dengan keuntungan 10 peratus bagi setiap barang.

“Kerana terlalu mempercayai suspek, wanita itu telah membuat bayaran melalui 28 transaksi secara berperingkat ke dalam enam akaun bank berbeza menjadikan keseluruhan berjumlah RM1.064 juta dari tempoh 7 Mei hingga 30 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila diarahkan membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan komisennya berjumlah AS$200,000 (RM923,685.55) dari laman web terbabit.

“Hal itu menyebabkan pengadu berasa curiga sebelum hadir membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh, Rabu lalu apabila mendapati laman web berkenaan gagal diakses pada keesokan harinya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette.