ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA- Seorang pemandu teksi yang menjadi penghantar dadah bersama seorang rakan sindiket diberkas bersama 4 kilogram (kg) ganja dalam dua serbuan berasingan di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemandu teksi berusia 41 tahun itu dicekup di sekitar Kelana Jaya pada 10.10 malam.

Pemeriksaan ke atas suspek dan teksi berjaya menemui beg mengandungi tiga ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dibalut dengan kertas kuning keemasan dan satu ketulan lagi dibungkus dengan kertas biru.

“Hasil tangkapan dan soal siasat ke atas pemandu teksi itu, polis melakukan serbuan kedua dan berjaya menahan suspek kedua seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun di sekitar Kota Damansara,” katanya dalam sidang media hari ini.

Suspek kedua dipercayai sebagai perancang utama kegiatan menjual beli dadah yang dirampas daripada suspek pertama.

Menurutnya, kedua-dua suspek menjual semula dadah-dadah berkenaan kepada pengedar lain.

Kesemua dadah yang dirampas polis dianggarkan bernilai RM12,455 dan dipercayai mampu digunakan oleh 4,018 pengguna.

“Pemandu teksi itu terlibat aktiviti pengedaran dadah lebih kurang tiga bulan di sekitar Kelana Jaya dan Puchong manakala suspek kedua selama dua bulan di Kepong, Selayang dan Petaling Jaya.

“Semakan mendapati pemandu teksi itu mempunyai lima rekod jenayah dan enam rekod dadah manakala suspek kedua tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau,” tambahnya.

Kata Mohamad Fakhrudin, mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung jika disabitkan kesalahannya.- MalaysiaGazette