kuasa politik
Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain ketika mencadangkan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto UMNO ONLINE, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Wakil Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berpandangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kuasa politik berhubung usaha membebaskan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak daripada hukuman penjara.

Ketua UMNO Bahagian Bangi itu berkata, Najib yang juga bekas Perdana Menteri perlu diberi ruang yang cukup untuk membela diri.

Beliau mendakwa, Najib yang popular dengan gelaran Bossku dipenjarakan akibat permainan politik jahat ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketujuh.

“Adakah kita percaya Datuk Seri Najib terpenjara kerana korupsi yang dilakukan oleh beliau? Kita tidak percaya.

“Apakah kita nak biarkan Bossku berada di sana lebih lama?” soalnya ketika mencadangkan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada PAU 2023, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya Najib diberi keadilan yang sewajarnya.

Desakan yang disuarakan di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mengikuti ucapan dasar tersebut disambut dengan laungan ‘Bebaskan Bossku’.

Najib yang sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara atas sabitan kes SRC International Sdn Bhd telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Mohd Zaidi menyifatkan Najib sebagai pejuang sejati UMNO yang telah membantu kemenangan parti dalam semua pilihan raya kecil (PRK) yang ditandingi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) walaupun beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan politik peribadi.

Beliau meminta semua pemimpin dan ahli UMNO tidak melupakan segala jasa dan sumbangan Najib terhadap parti serta agama, bangsa dan negara.

“Walaupun jasadnya dipenjara tetapi roh perjuangan beliau tetap bersama dengan kita,” katanya.

Mohd Zaidi turut berkongsi pesanan Najib ketika bertemu dengan beliau di penjara dahulu.

“Beliau kata, kita boleh usahakankah untuk beliau bersama-sama dengan kita dan Anwar untuk berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti,” jelasnya. – MalaysiaGazette