Dr. Noor Azlan Ghazali

KUALA LUMPUR – Di mana sebenarnya status kualiti pendidikan negara ini, tanya bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Persoalan itu menjadi tanda tanya beliau kerana rumusan kualiti pendidikan negara ini berkecamuk dan sangat mengelirukan.

Dalam perkongsiannya di Facebook, Noor Azlan berkata,  semalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan seramai 91.6 peratus calon telah berjaya memperoleh kelulusan sijil SPM (minimum lulus Bahasa Malaysia dan Sejarah).

Angka 91.6 peratus itu adalah catatan sejarah pendidikan negara kerana kali pertama melebihi 90 peratus dan ia membanggakan.

Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2022 lebih baik, iaitu 4.75 berbanding 4.86 pada tahun 2021 apabila seramai 10,109 pelajar memperoleh A bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Secara umum keputusan SPM 2022 menunjukkan pencapaian pendidikan negara yang lebih baik.

KPM turut mengesahkan kualiti sistem pendidikan negara adalah setanding dengan pentaksiran antarabangsa.

Menurut beliau, saban tahun kita dimaklumkan pendidikan negara lebih baik, semakin meningkat.

Namun, Noor Azlan berkata, pada awal tahun tahun ini, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan 170,000 murid sekolah di akhir sekolah rendah tidak mahir membaca.

Kira-kira 5.8% (1.9 juta) rakyat Malaysia tidak pernah bersekolah dan angka ini merisaukan.

Penghujung Mei yang lalu pula Malaysia digemparkan dengan laporan Menteri Pendidikan bahawa hampir 50 peratus (180,680 pelajar) lepasan SPM 2021 tidak berminat menyambungkan pengajian mereka.

Laporan ini, kata Noor Azlan menambah kerisauan memandangkan minat untuk menyambung pengajian yang sangat rendah.

Lebih merisaukan apabila kini hanya 28 peratus tenaga kerja Malaysia adalah pekerja mahir (umumnya berpendidikan tinggi), jauh lebih rendah berbanding purata bagi beberapa buah negara maju iaitu sekitar 53 peratus.

Di peringkat pengajian tinggi pula, agensi penarafan antarabangsa QS melaporkan kedudukan universiti-universiti Malaysia semakin meningkat.

Malaysia mempunyai universiti bertaraf dunia, malah semua universiti penyelidikan negara mencatat peningkatan dalam penarafan dunia yang mana Univeristi Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) kini antara 200 terbaik di dunia.

Pencapaian universiti-universiti ini membanggakan.

Sementara di rantau Asia Tenggara, universiti-universiti kita mendominasi tangga teratas 10 terbaik.

USM diletakkan sebagai yang ke 4 terbaik didunia dalam penarafan THE Impact Ranking dan UM terus mencatat kenaikan penarafan, kini ke 70 terbaik di dunia.

Prestasi ini sangat membanggakan.

Namun, sudah berkali-kaliMenteri Pengajian Tinggi mengingatkan, ‘ranking’ bukan matlamat pengajian tinggi negara, sebaliknya institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mengembalikan keyakinan rakyat.

Hasil kerja IPT mesti memberi impak kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Persoalannya, tanya Noor Azlan: Sejauh mana telah kita capai?

Tegasnya, Malaysia tidak boleh berterusan begini.

“Sekejap hebat, membanggakan dan menggembirakan dan sekejap risau, merunsingkan dan menggerunkan.

“Penyediaan bakat yang berkualiti adalah antara perkara terpenting yang perlu kita pastikan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

“Kita harus sepakat di mana kita hari ini. Sematlamat ke mana hendak kita tuju untuk Membangun Malaysia Madani,” ujarnya. – MalaysiaGazette