ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Perselisihan faham mengenai status hubungan cinta dipercayai merupakan punca seorang pemain bola sepak Liga Super memukul teman wanitanya di sebuah hotel, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati suspek berusia 30 tahun itu terlibat dengan pertikaman lidah bersama teman wanitanya berusia 37 tahun itu yang difahamkan adalah seorang doktor perubatan.

“Kami tidak boleh mendedahkan apa sebenarnya perselisihan faham yang dimaksudkan itu antara pasangan kekasih terbabit memandangkan ia dikhuatiri boleh menganggu siasatan polis yang masih berjalan.

“Akan tetapi, saya boleh mengesahkan di sini bahawa memang berlaku salah faham mengenai hubungan cinta antara mereka berdua di bilik hotel itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kes tersebut, hari ini.

Pada 7 Jun lalu, Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan selain telefon bimbitnya dirosakkan bekas pemain pertahanan Harimau Malaya itu.

Katanya, bertindak atas laporan polis mangsa pada hari yang sama, polis telah menyerbu sebuah bilik hotel, di sini, dan  menahan suspek dan lelaki itu telah dirakam keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek telah memberi kerjasama yang baik sepanjang proses merakam keterangan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast