PETALING JAYA – Seorang lelaki warga India menikam 18 kali dan mengelar tubuh teman wanitanya sehingga mati selepas mengesyaki mangsa menjalin hubungan sulit dengan individu lain.
Suspek kemudian cuba mengambil nyawanya sendiri dengan baring di atas landasan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) tetapi tersalah trek menyebabkan dia hanya melihat tren berkenaan bergerak.
Perbuatannya itu menyebabkan dia diberkas oleh polis bantuan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek telah mendedahkan perbuatan kejamnya itu selepas ditahan pada 3 Jun lalu selepas menceroboh landasan ERL.
Katanya, perbuatan itu dilakukan di kondomonium yang disewa mereka di Kelana Jaya, Petaling Jaya.
Berdasarkan kenyataan suspek, lebih kurang 11.10 malam sepasukan polis IPD Cheras dan IPD Petaling Jaya ke kondominium tersebut dan menemui enam warga asing termasuk seorang wanita dan seorang warga tempatan dalam rumah itu.
“Polis kemudian memasukkan bilik yang didiami oleh teman wanita suspek dan menemui satu mayat perempuan warga asing dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah serta sebilah pisau yang digunakan untuk menikam dan membunuh mangsa,” katanya dalam sidang media hari ini.
Selain suspek, kesemua tujuh individu yang berada di rumah berkenaan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 10 Jun ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mohamad Fakhrudin berkata siasatan awal polis mendapati sebenarnya suspek dan teman wanitanya yang berasal dari negeri Punjab, India.
Simati sudah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak di India.
Kedua-dua mereka tiba ke Malaysia tiga bulan lepas menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS). Simti bekerja di sebuah kedai pendandan rambut di pusat membeli belah MId Valley Bangar manakala suspek bekerja di restoran makanan di Petaling Jaya.
“Suspek mengesyaki mangsa menjalin hubungan sulit dengan seorang lagi lelaki yang juga rakan serumah mereka.
“Akibat berang dan cemburu itu, antara jam 4 hingga 6 petang pada 2 Jun lalu suspek mengambil pisau pemotong bawang lalu menikam teman wanitanya di dalam bilik tidur mereka.
“Suspek kemudian melarikan diri dan menceroboh stesen ERL di Salak Selatan sebelum melangkah masuk ke laluan tren untuk membunuh diri bersama sebuah nota pengakuan pembunuhan di kasutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette