Ketua UMNO Bahagian Kangar, Dr. Fathul Bari Mat Jahya bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO tidak perlu terkongkong dengan pandangan pucuk pimpinan parti hingga perlu tunduk dan tidak berani menyuarakan desakan, khususnya parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, kelantangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh bukan baharu bahkan pemikiran di luar kotak pemimpin sayap parti wajar diraikan.

“Saya amat berbangga dengan pendirian Pemuda UMNO, mereka sifatnya perlu lebih tegas, lantang dan bebas daripada dikongkong oleh mana-mana pandangan atau idealisme.

“Apa yang dibuat oleh Dr Akmal pendirian yang dinyatakan bukan pada hari ini sahaja, bahkan sebelum ini saya melihat pandangan beliau di luar kotak, tidak terkekang dengan pandangan kepimpinan parti,” katanya kepada MalaysiaGazette, semalam.

Semalam, Dr Akmal mendesak DAP meminta maaf serta menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO sebelum ini bagi membuktikan persahabatan dalam Kerajaan Perpaduan benar-benar ikhlas.

Dr Akmal juga mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang sanggup datang ke Sarawak untuk meminta maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Mengulas lanjut, Fathul Bari menyifatkan desakan Pemuda UMNO itu sebagai warna-warni dalam politik dan permintaan permohonan maaf itu tidak melampaui batas malah ia wajar ditunaikan DAP sebagaimana yang dilakukan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Kerjasama dengan DAP ini ada sentuhan-sentuhan yang kurang selesa di akar umbi, itu pada saya satu perkara yang tidak boleh dinafikan sekali.

“Jadi untuk memastikan keselesaan tersebut, kerjasama tersebut berlangsung dengan baik, perlu ada keikhlasan dan persefahaman,” katanya.

Menurut beliau, tiada salahnya jika UMNO meletakkan syarat kepada DAP sebagaimana ketika Pas mengadakan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP dalam pembentukan Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Alternatif (BA) sebelum ini.

“Asasnya dinamika pada waktu itu Pas berpendapat dengan sokongan DAP dan sebagainya boleh membentuk kerajaan, tetapi Pas meletakkan syarat-syarat, jadi pada saya hari ini atas ijtihad dan justifikasi inilah realitinya, dinamika politik hari ini.

“Jadi kenyataan Ketua Pemuda, saya secara peribadi menyokong kenyataan beliau dan mengharapkan suasana tersebut boleh lebih harmoni dalam memastikan kerjasama Kerajaan Perpaduan ini berlangsung dengan positif.

“Saya menyokong itu ada asas kerana boleh menenangkan cuaca politik di bawah, kita tak nak isu-isu dilihat di atas okay, tenang, air yang tenang jangan disangka tiada buaya,” jelasnya.

Katanya lagi, isu pertembungan antara UMNO dengan DAP bukan perkara baharu, bahkan sudah lama dan sesuatu perlu dilakukan agar kedua-dua pihak telus tentang pendirian politik yang sebelum jauh berbeza.

“Kita ditanamkan dalam kepala kita tentang idealisme DAP, pembawakan mereka, penolakan mereka dalam isu-isu dasar Perlembagaan.

“Kita perjuangkan dulu isu ICERD, jadi penerimaan semula ini pada saya kena ada asas.

“Jadi kita jalinkan kerjasama yang positif ini atas satu asas, semangat keikhlasan, kebersamaan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast