KUALA LUMPUR – Wartawan dan keluarga media bukan sahaja berperanan melaporkan berita sahih malah turut menjadi pembimbing serta pendorong cetusan idea dalam membina negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, wartawan dan media juga harus bebas memberi pandangan serta kritikan membina kepada kepimpinan negara dalam menjadikan tatakelola pentabiran lebih baik.
“ …kita angkat semula keupayaan kita dalam memaknai perpaduan rakyat, bukan hanya golongan sarjana tetapi wartawan harus bebas tegur, kritik dan beza pandangan dengan jalur tetap kepimpinan negara.
“Sebab itu saya masih tuntas dengan pandangan tugas wartawan bukan sekadar melaporkan tetapi membimbing idea kepada negara,” katanya dalam ucapan pada Malam Wartawan Malaysia 2023 sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022 di sini malam ini.
Perdana Menteri turut menyeru pengamal media untuk bertindak sebagai pendidik kepada masyarakat dengan menanam minat dan mengajak rakyat agar lebih berminat membaca serta menimba ilmu.
Anwar berkata, tanpa minat membaca yang mendalam dalam kalangan rakyat, sesuatu isu yang berlaku dalam negara termasuk soal dasar dan tatakelola tidak dapat dicakna dengan baik.
Beliau berkata, selain itu, cabaran ketika ini adalah mengangkat semula keupayaan dalam negara demokrasi berpandukan konsep Malaysia MADANI.
Justeru katanya, kebebasan demokrasi hanya diwarnai jika terdapat wacana yang segar didorong hasil kerjasama dan peranan golongan wartawan.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya dan Naib Presiden Eksekutif Petronas Liza Mustapha.
Chamil dalam ucapannya pula berkata, bagi edisi 2022, anugerah MPI menerima sebanyak 368 penyertaan pelbagai karya kewartawanan untuk dihakimi berbanding 350 pada 2021.
Beliau berkata, selain itu, Petronas bersetuju menaja HKM untuk tempoh tiga tahun lagi mulai 2024 dengan penambahan kategori bagi penyertaan radio dan televisyen.
HKM MPI-Petronas ialah acara tahunan bagi mengiktiraf karya kewartawanan sepanjang tahun dengan Hadiah Kajai sebagai pengiktirafan tertinggi kepada wartawan yang melaksanakan tugas dengan cemerlang. – Bernama