Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan parti tunjang orang Melayu ini telah tercedera dan perlu segera dipulihkan.

Jelasnya lagi, ubat paling mujarab untuk memulihkan UMNO harus bermula dengan kesatuan dan perpaduan.

“Parti yang tercedera tidak boleh diparahkan dengan pecah-belah. Tidak perlu terus diporak-perandakan dengan perseteruan antara pelbagai kelompok dan puak.

“Kesinambungan perjuangan, azam dan kerja keras harus mengatasi segala hasad dan dengki, adu dan domba,” katanya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Jelas Mohamed Khaled lagi, untuk tidak melihat UMNO semakin parah, beliau menggesa agar agar akar umbi dan kepimpinan untuk berdamai dan bersatu hati ke arah penyatuan bersama.

“Biarlah selepas biduk berlalu, kiambang kembali bertaut. Ibarat berkelahi di hujung jalan, kita berbaik jua di pangkalnya,’ jelas Mohamaed Khaled lagi.

Tambah beliau, semua pihak dalam UMNO perlu menjadikan pemulihan dan kebangkitan UMNO sebagai misi utama.

Ia dilihat perlu bagi memastikan UMNO terus menjadi juara rakyat tanpa kompromi.

“Misi yang dijayakan dengan meletakkan orang Melayu dan masa depan bangsa kita sebagai keutamaan melebihi segala yang lain,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette