Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan penurunan pada minggu depan menjelang data mengenai industri minyak sawit bagi Mei 2023 dikeluarkan.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata data itu, yang akan dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Isnin depan, akan memberikan kejelasan yang lebih baik mengenai kedudukan stok minyak sawit negara kepada peniaga dan pelabur serta membantu menentukan langkah mereka yang seterusnya dalam pasaran.

“Kami menjangka pasaran akan diniagakan antara RM3,100 dan RM3,500 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Persatuan Minyak Sawit Malaysia berkata pengeluaran minyak sawit negara dianggarkan meningkat 26.33 peratus kepada 1.51 juta tan pada Mei berbanding April.

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan bercampur-campur, menjejaki niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago dan berikutan kebimbangan mengenai pengeluaran yang meningkat pada masa depan.

Pada asas mingguan, kontrak Jun 2023 meningkat RM62 kepada RM3,478 satu tan, Julai 2023 menambah RM2 kepada RM3,408 satu tan dan Ogos 2023 merosot RM14 kepada RM3,367 satu tan.

Kontrak September 2023 berkurangan RM13 kepada RM3,366 satu tan, Oktober 2023 merosot RM5 kepada RM3,379 dan November 2023 menambah RM5 kepada RM3,393.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 235,769 lot daripada 302,120 lot manakala kepentingan terbuka naik kepada 265,572 kontrak daripada 244,934 kontrak pada Jumaat lepas.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan kekal tidak berubah pada RM3,450 satu tan. – BERNAMA