KAHERAH – Seorang warga Rusia maut diserang seekor jerung di kawasan peranginan Laut Merah Mesir di Hurghada.
Jerung harimau menyerang lelaki itu ketika dia berenang di Dream Beach.
Rakaman video detik-detik serangan oleh seorang saksi menunjukkan mangsa yang dipercayai berusia 20-an meronta-ronta di laut sebelum diheret ke bawah air.
Walaupun orang ramai cuba membantu, tetapi mangsa tidak dapat ditemui.
Susulan serangan itu, semua aktiviti air di Dream Beach dihentikan selama dua hari bermula Jumaat, menurut Kementerian Alam Sekitar Mesirr.
Difahamkan jerung berkenaan telah ditangkap.
Agensi berita Tass melaporkan mangsa bukan pelancong tetapi menetap di Mesir.
Konsul Jeneral Rusia Viktor Voropayev yang menyampaikan ucapan takziah meminta warga Rusia berwaspada apabila berada di dalam air dan mematuhi larangan berenang dan menyelam yang dikenakan oleh pihak berkuasa Mesir.- Agensi