Anwar berucap pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di Pusat Konvesnyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya ‘meninggalkan’ ajaran Islam merupakan satu fitnah jahat.

Sebaliknya, beliau menegaskan, pembentukan gagasan Kerajaan Madani berlandaskan panduan daripada al-Quran.

Anwar berkata, beliau sedia menerima teguran dan cadangan-cadangan baru namun tidak setuju jika ada individu memperkudakan al-Quran bagi melemparkan hujah sekali gus merosakkan kemurnian kitab suci itu.

Anwar Ibrahim

“Wujud sanggahan oleh individu tertentu terhadap insiatif kerajaan termasuk Belanjawan Madani 2023 dengan membuat rujukan kepada ayat dalam al-Quran secara tidak tepat.

“Maka dalam negara kita, sepatutnya mukjizat al-Quran itu perlu dipertahankan bukan diperkudakan meskipun mempunyai perbezaan pandangan.

“Malah kemurnian kitab suci al-Quran telah dipertahankan para ulama selama lebih 1, 000 tahun,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di Pusat Konvesnyen PICCA @ Arena Butterworth malam ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, peranan Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan Islam sangat jelas apabila peruntukkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditambah.

“Peranan JAKIM sebelum ini kurang menyerlah dan apa yang kita lakukan kini adalah menyiapkan ruang yang lebih luas kepada JAKIM pada skala yang tidak pernah dilakukan terdahulu.

“Saya juga telah mengarahkan peranan mufti, ulama dan tokoh di JAKIM selari dengan perkembangan melaksanakan pembaharuan insitusi, mengangkat martabat Kerajaan Madani serta negara,” katanya.

MTHQK kali ini membabitkan penyertaan seramai 112 peserta daripada seluruh negeri berusia lingkungan 10 hingga 25 tahun yang mana setiap negeri akan diwakili lapan peserta iaitu dua bagi pertandingan Tilawah manakala enam bagi Hafazan al-Quran.

Johan tilawah dan hafazan akan memenangi wang tunai RM20,000 tahun ini berbanding kadar lama RM15,000 pada tahun lalu. – MalaysiaGazette