khairuddin mengundi muda songsang musuh Allah
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Salah faham terhadap konsep ‘jemaah Islam’ dalam kalangan ahli Pas mesti dibetulkan kerana ia adalah penyelewengan terhadap maksud hadis sahih.

Bekas kepimpinan Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penyelewengan tersebut memberi kesan besar kepada sikap taksub berparti sehingga memutuskan persaudaraan Islam dan memecahkan umat Islam.

“Ahli Pas ditarbiah untuk menerima hanya Pas adalah jamaah Islam dan satu-satunya jamaah Islam di Malaysia lalu memandang serong pada semua orang Islam di luar Pas sedangkan kefahaman salah inilah menjadi sebab berpecah jamaah muslimin di Malaysia.

“Umat Islam yang sepatutnya berpadu dalam jamaah muslimin yang besar dipecahkan untuk berada dalam jamaah islam yang kecil bermula dengan penyelewengan maksud hadis sahih,” tegas Khairuddin.

Menurut beliau, penyelewengan kefahaman tersebut telah melahirkan budaya kafir mengkafir di Terengganu.

Ia juga menjadi punca ahli Pas tidak bersolat di masjid kerajaan lalu membina masjid sendiri dan hanya solat Jumaat di masjid Pas sahaja.

“Inilah punca solat dua imam, akad nikah yang diwalikan oleh ahli UMNO tidak sah malah sembelihan orang UMNO tidak sah,” kata Khairuddin.

Jelas beliau, hakikat sebenar ialah Pas bukannya jemaah Islam sebagaimana disebut dalam Hadis Sahih Bukhari Muslim riwayat Huzaifah bin Yaman.

Pas hanya satu jamaah dan kumpulan kecil daripada jemaah umat Islam yang besar diketuai oleh seorang ketua negara Islam dan Yang di-Pertuan Agong dalam konteks Malaysia.

“Itulah tafsiran yang benar bagi maksud hadis ‘kamu perlu berpegang dengan jemaah muslim dan imam mereka’.

“Namun kerana salah faham tafsiran yang dibuat oleh pimpinan Pas sejak berzaman melahirkan ketaksuban pada parti dan “jemaah kecil” Pas.

“Dalam sejarah Pas, pengasas Pas, Ustaz Fuad Hasan, Presiden Pas, Datuk Asri Muda, panglima jihad Pas dan bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz Hasan Adli dan pengasas Pas Kelantan, Ustaz Amaludin Darus meninggalkan Pas. Mereka semua dituduh keluar daripada jamaah Islam?” soal beliau.

Khairuddin berkata, Pas telah berundur jauh di saat gerakan Islam lain di seluruh dunia menerima kepelbagai jamaah kecil dan parti politik yang memperjuangkan Islam sebagai cara hidup.

Keluar dan masuk parti lain serta menubuhkan parti baru adalah fenomena gerakan dakwah di negara-negara Islam lain tetapi ia tidak diiktiraf oleh Pas kerana mereka mendakwa hanya parti itu yang memperjuangkan Islam di Malaysia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast