KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) dan Petronas Gas Berhad (PGB) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka potensi kerjasama berkaitan dengan Cadangan Pembangunan Loji Janakuasa Hidro Mini dan Cadangan Pengurusan Operasi dan Penyenggaraan Terminal di Terengganu.
Pemeteraian MoU ini menandakan langkah awal kerjasama antara MBI dan PGB bagi mengukuhkan pembangunan ekonomi di Terengganu di mana kedua-dua pihak akan membuat penilaian bersama ke atas kebolehlaksanaan kedua-dua cadangan pembangunan.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pihaknya amat yakin terhadap jalinan kerjasama strategik oleh kedua-dua belah pihak yang selaras dengan pelan dan aspirasi Kerajaan Terengganu.
“Saya yakin bahawa kerjasama ini akan membuka peluang baharu dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu, sejajar dengan matlamat pelan jangka masa panjang yang diberi nama Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030.
“Pembangunan loji janakuasa hidro kecil yang dicadangkan melalui anak-anak sungai di daerah Dungun adalah seiring dengan teras strategik 9 PITAS 2030 iaitu Pengukuhan Infra, Pemerkasaan Teknologi Hijau dan Pengawalan Impak Bencana. Projek ini dilihat sebagai penyelesaian Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang kritikal dalam menjadi solusi cabaran bekalan elektrik terutamanya bagi kawasan luar bandar yang terpencil,” kata MBI dalam satu kenyataan.
Hadir menyokong jalinan kerjasama strategik yang berlangsung di Mandarin Oriental Kuala Lumpur baru-baru ini adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam majlis berkenaan, MBI diwakili oleh Bijaya Raja dan Ketua Pegawai Kewangan merangkap Penasihat Kewangan kepada Menteri Besar Terengganu, Muhammad Ramizu Mustaffa manakala PGB pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Aziz Othman dan Pengurus Besar Kanan, Pemprosesan Gas dan Utiliti, M Nazir M Nor.
Mengulas lanjut, MBI memberitahu, bagi cadangan kerjasama pengurusan, operasi dan penyenggaraan terminal oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Terengganu pula, ia dilihat sebagai satu langkah strategik dan berimpak.
Jelasnya, sekiranya dapat direalisasikan dengan jayanya, cadangan itu bakal membuka ruang pemerkasaan ekonomi bukan sahaja buat organisasi-organisasi terlibat tetapi juga buat komuniti setempat melalui penawaran peluang pekerjaan dan perkongsian kemahiran teknikal.
”Saya percaya Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong Petronas dan PGB dengan penyediaan infrastruktur dan sumber yang lengkap. Kerjasama kukuh yang terjalin sebelum ini telah memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, justeru pihak Kerajaan berharap jalinan kerjasama baharu ini akan mengukuhkan lagi hubungan dengan Petronas dan PGB,” tambah Bijaya Raja lagi.
Sementara itu, MBI telah meletakkan visi untuk menjalankan pelaburan strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan di Terengganu di mana MoU itu sebahagian daripada komitmen syarikat untuk melihat pembangunan yang lebih berdaya saing dapat dicapai melalui pelaburan strategik tertumpu. – MalaysiaGazette