Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan

KAJANG – Tindakan mahkamah akan diteruskan jika tiada maklum balas terhadap surat tuntutan (LOD) yang dikeluarkan kepada penyokong Perikatan Nasional (PN) berhubung isu kalimah Allah, kata Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Menurut bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Lim Kit Siang itu, beliau akan terus berunding dengan peguamnya bagi meneruskan tindakan susulan.

“Saya sudah minta surat tuntutan dikeluarkan dan telah dikeluarkan. Kalau tidak ada apa-apa respons dari pihak yang memfitnah saya itu, kita akan teruskan tindakan mahkamah.

“Kita masih mengenal pasti (individu yang terlibat) dan akan terus berunding dengan peguam sama ada nak teruskan, bagaimana dan berapa ramai nak diteruskan.

“Saya sudah tak boleh nak berdiam diri lagi, politik fitnah puak-puak PN ini sudah sampai satu tahap yang saya tak boleh tolerate. Bila dia fitnah tentang akidah kita ini benda yang sudah tak boleh main-main lagi.

“Kalau rasa belum dapat lagi, tunggulah ya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Towhall Mencari Penyelesaian Isu Banjir di Jalan Reko hari ini.

Bagaimanapun, Syahredzan enggan mendedahkan jumlah individu yang sudah dikenal pasti serta tuntutan yang telah dikeluarkan.

Sebelum ini, media melaporkan Syahredzan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penyokong PN terutamanya Pas yang memfitnahnya berhubung isu kalimah Allah.

Beliau memberitahu, mana-mana pihak yang masih berdegil dan terus memfitnahnya, mereka akan berdepan risiko disaman. -MalaysiaGazette