Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menempelak Syed Saddiq yang didakwa mengalihkan ‘tiang gol’ terhadap isu sebenar penolakan usul mengenai isu Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Ahli Parlimen Muar itu cuba membawa perkara itu kepada Dewan Rakyat oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat tempoh hari.

Dalam satu kenyataan hari ini, AMK berkata, seperti yang telah diperjelaskan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat secara bertulis dan kemudian menerusi kenyataan dalam Dewan Rakyat – laporan berkaitan projek pembinaan LCS dibentangkan di Parlimen setiap tiga bulan berdasarkan komitmen  Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Maka wajar untuk hal ini dibahaskan secara objektif berdasarkan maklumat dan perkembangan yang terkini dikeluarkan dengan tambahan komitmen oleh speaker untuk membenarkan hal ini dibahas selepas laporan penuh diperoleh.

“Bagaimanapun, dakwaan Syed Saddiq kononnya usul tersebut ditolak kerana ‘bukan berkepentingan orang ramai’ secara substantif adalah cubaan mengalih isu sebenar,” kata kenyataan yang sama.

“Syed Saddiq menggambarkan seolah-olah Dewan Rakyat dan kerajaan telah secara tidak langsung mengelak dan melindungi siasatan LCS sedangkan isu sebenarnya adalah usul yang dikemukan oleh beliau kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat adalah dianggap sebagai tidak lengkap.

“Ini kerana tidak menyatakan secara jelas dalam usul itu tiga pernyataan penting iaitu “perkara tertentu, berkehendak disegerakan atau berkenaan kepentingan orang ramai” dengan setiap elemen tersebut perlu digariskan pewajarannya bukan bersandarkan hanya kepada isu yang ingin dibangkitkan,” kata kenyataan AMK itu.

Tambah AMKi, pertikaian Syed Saddiq terkait peningkatan kos dan pengurangan kapal juga telah dijawab oleh Kementerian Pertahanan bahawa perubahan spesifikasi dan inflasi menyumbang kepada perkara ini serta penangguhan pembinaan projek kapal LCS ini akan terus meningkatkan kos pembinaan dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

Justeru jelas AMK, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari juga telah meletakkan keutamaan dan komitmen bagi menyelesaikan LCS pertama yang dijangka siap pada November 2024 dan ditauliahkan untuk kegunaan TLDM pada akhir 2026.

Namun demikian, menurut AMK, tindakan Syed Saddiq dan MUDA secara terus menerus menyebarkan  kenyataan separa benar yang memburukkan kerajaan secara tidak adil adalah perkara yang harus diteliti dan ditegur oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“Selain itu perkara berkenaan turut harus diambil kira dalam penilaian terhadap permohonan MUDA untuk menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan,” tegas AMK. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast