KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus menilai semula proses kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang hendak pulang ke negara asal mereka selepas ditipu oleh ejen tenaga kerja.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, selalunya PATI terpaksa tinggal lebih lama di negara ini kerana proses untuk mereka pulang mengambil masa.
Selain itu, katanya, PATI juga dikenakan denda yang tinggi oleh pihak berkaitan menyebabkan ada sesetengah mereka terpaksa menangguhkan untuk pulang kerana perlu mencari wang menyelesaikan denda.
“Ini punca kenapa ramai PATI tinggal lebih masa di Malaysia. Mereka datang ke sini selepas dijanjikan pekerjaan, gaji dan tempat tinggal yang menarik. Tetapi apabila sampai, kerja dan gaji tidak setimpal.
“Apabila merasakan tertipu, mereka mahu pulang semula ke negara asal tetapi perlu pula melalui banyak prosedur termasuk kena bayar denda kepada agen, kepada Imigresen dan sebagainya.
“Mereka datang tidak ada duit, kemudian dikenakan denda yang tinggi pula. Di mana mereka nak dapatkan duit? Mereka terpaksa mencari kerja lain dan hidup dalam persembunyian,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Sehubungan itu, Zaid minta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melihat perkara itu sebagai isu yang wajar diambil berat dan diselesaikan.
Sepatutnya, kata beliau, kerajaan mempermudahkan proses PATI itu pulang bukan mengenakan pelbagai syarat yang mereka tidak dapat memenuhinya.
“Saya mengikuti perkara ini dan saya kesian kepada mereka yang teraniaya ini. Kalau kena tangkap, mereka kena bayar denda RM2,000 hingga RM3,000 iaitu satu jumlah yang besar bagi mereka.
“Pada saya, kalau mereka nak balik, biarlah mereka balik. Sepatutnya permudahkan mereka nak balik. Jangan bebankan mereka dengan denda yang besar.
“Mana mereka nak dapat duit nak bayar denda? Dahlah datang ke sini kena tipu dengan ejen, kerja pun tak ada,” katanya.
Menurutnya, walaupun PATI bukan rakyat Malaysia tetapi kerajaan kena tolong permudahkan urusan mereka sesuai dengan slogan Malaysia Madani iaitu kerajaan belas kasihan. – MalaysiaGazette