UTeM

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan tujuh inisiatif berupa pelbagai bantuan termasuk kewangan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga B40 yang menyambung pengajian di peringkat diploma di universiti itu.

Naib Canselornya Prof Dr Massila Kamalrudin berkata inisiatif itu akan diberikan sepanjang tempoh pengajian pelajar berkenaan menyambung pengajian di UTeM dalam usaha menjamin kebajikan, kelangsungan hidup dan keselesaan mereka selain mengurangkan beban keluarga golongan itu.

Beliau berkata antara inisiatif yang disediakan ialah tajaan pengajian dan wang saku pelajar di bawah Program Anak Emas melalui Yayasan Canselor melibatkan peruntukan sebanyak RM90,324.

“Di bawah Program Anak Emas, pengajian pelajar tersebut akan ditanggung sepenuhnya dan usaha ini julung kali ditawarkan UTeM bermula tahun lepas.

“Selain itu, inisiatif TUAH Care Food@Campus berupa bantuan makanan kepada pelajar terbabit turut disediakan dan ia memberi manfaat kepada lebih 1,500 pelajar dengan peruntukan lebih RM150,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata UTeM turut menyediakan alternatif bantuan Pinjaman Jangka Pendek (PJP) sebanyak RM500 selain Program Menu Siswa Rahmah dan Program Food Bank kepada pelajar memerlukan.

Katanya sebagai universiti yang menerajui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi negara, UTeM turut menyediakan Bantuan Pengajian TVET sepanjang tempoh pengajian kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan.

Massila berkata UTeM turut akan membantu pelajar B40 mendapatkan bantuan zakat dan sumbangan dari agensi korporat bagi membantu meringankan beban kewangan sepanjang berada di universiti itu. – BERNAMA