tua
Gambar hiasan

MENOPAUS adalah satu fasa dalam kehidupan yang diselubungi misteri, terutama di kalangan wanita muda yang selalunya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan atau apa yang perlu dilakukan apabila fenomena semulajadi ini berlaku.

“Kita perlu bercakap mengenai perkara ini lebih awal lagi sebelum wanita mencapai menopaus supaya mereka lebih bersedia dan kurang bimbang mengenainya apabila ia berlaku.

“Ramai wanita yang saya jumpa berharap mereka tahu lebih awal apa yang dapat mereka lakukan supaya boleh lebih bersedia. Memandangkan setiap wanita pasti akan mengalaminya, maka anda sepatutnya memasuki fasa kehidupan ini dengan lebih berpengetahuan,” kata Profesor Dr. Nazimah Idris, Profesor Obstetrik & Ginekologi, yang juga merupakan Pengarah Perubatan IMU Healthcare.

Hakikat menopaus & perimenopaus

Beliau memulakan penjelasan dengan asas menopaus, di mana menopaus berlaku apabila ovari wanita berhenti menghasilkan telur dan putus haid. Dari segi perubatan, menopaus disahkan apabila wanita itu tidak datang haid selepas satu tahun. Secara amnya, ia berlaku di antara usia 45 dan 55 tahun. Purata usia menopaus global ialah 51.4 tahun, dengan 5% wanita mengalami menopaus awal di antara usia 40 and 45 tahun.

Sebelum menopaus berlaku, wanita akan melalui satu peringkat yang dinamakan perimenopaus, yang lazimnya berlangsung selama 4 ke 5 tahun. Pada masa ini, adalah normal bagi wanita mengalami haid yang tidak teratur yang mungkin termasuk pendarahan yang lebih banyak, dan ini termasuklah kitaran haid yang jarang atau melangkau. Ini disebabkan perubahan dalam sistem endokrin wanita yang membawa kepada penurunan paras estrogen, dan ini selalunya disertai rasa hangat panas (hot flash) dan kemerah-merahan pada kulit, emosi yang berubah-ubah, sukar tidur dan kekeringan faraj.

Dr Nazimah Idris

Selain itu, ia turut menyebabkan wanita menjadi pelupa, kurang bertenaga dan penurunan libido yang apabila bersekali dengan kekeringan faraj, boleh membawa kepada kurang berminat kepada seks dan hubungan intim. Apabila menopaus berlaku, gejala-gejala tersebut menjadi lebih teruk dan boleh berlarutan selama lima tahun lagi.

Umumnya, keseluruhan proses itu boleh mengambil masa kira-kira 10 tahun dan ia satu tempoh yang lama untuk wanita menangani gejala-gejalanya, jika ia mengganggu kehidupan harian. Sebagai contoh, kira-kira 80% wanita mengalami rasa hangat panas, yang jauh lebih serius daripada rasa panas melebihi daripada biasa. Rasa hangat panas ini boleh menjadi teruk, dengan gelombang haba yang kuat terutamanya pada waktu malam.

Tidur akan terganggu dan menyebabkan kerengsaan atau kesukaran menumpukan perhatian, namun masalah ini boleh ditangani dengan terapi hormon, tetapi hanya 30% yang benar-benar pergi mendapatkan rawatan. Sama ada mereka tidak tahu wujudnya rawatan itu, atau mereka lebih sukakan remedi semulajadi di rumah,” kata beliau.

Dapatkan bantuan untuk menguruskan gejala

Biarpun beberapa remedi semulajadi seperti herba cohosh hitam dan tumbuhan evening primrose sudah dikaji keberkesanannya dalam melegakan gejala perimenopaus dan menopaus, keputusannya belum muktamad. Namun begitu, perubatan Cina (CM) mungkin dapat membantu. Keberkesanan CM dapat dilihat dalam tiga kitaran rawatan, walaupun proses keseluruhan rawatan bagi gejala menopaus boleh berlanjutan satu ke dua tahun.

Pengamal CM bertauliah di IMU Healthcare, Sin Yen Suan, bertemu dengan ramai wanita yang bermasalah ginekologi, seperti isu kesuburan hinggalah ke isu menopaus. Melalui rawatan CM, kami merawat masalah kesihatan dengan cara menangani ketidakseimbangan dalam badan secara terapi individu. Bagi wanita yang mengalami perimenopaus dan menopaus, badan mereka sedang mengalami banyak perubahan. Sesetengah daripada mereka sukar untuk menghadapi dan mengatasinya, jelas Sin.

“Ramai wanita datang berjumpa saya untuk mendapatkan bantuan mengenai gejala-gejala seperti darah haid yang berterusan dan banyak, selain kuat berpeluh, rasa hangat panas dan tidur yang terganggu. Bagi membantu mereka, kami melakukan beberapa rawatan berbeza seperti memberikan ubat herba untuk mengimbangi qi atau akupunktur untuk merangsang aliran darah pada titik meridian. Kaedah-kaedah ini membantu meredakan emosi mereka supaya mereka boleh berasa lebih baik dan dapat tidur lena pada waktu malam”.

Walaupun CM boleh melengkapi perubatan Barat, adalah lebih baik untuk memastikan kedua-dua pengamal CM dan doktor anda dimaklumkan mengenai sebarang bentuk rawatan yang anda jalani, tambah Sin.

Bagi mereka yang mahu tahu lebih lanjut mengenai terapi hormon, Nazimah memberi jaminan bahawa secara umumnya ia boleh diterima dengan baik dan sangat membantu melegakan rasa hangat panas dan antara lainnya meningkatkan kualiti tidur, kekeringan faraj dan inkontinens urinari (ketidakupayaan mengawal pembuangan air kencing). Rawatan hormon ada pelbagai jenis. Doktor akan mengesyorkan jenis rawatan berdasarkan keperluan individu, selain bergantung kepada sejarah keluarga.

Pilihan termasuklah pemberian tablet untuk melegakan gejala keseluruhan, atau krim topikal untuk mengurangkan kekeringan faraj, jelas Nazimah. Pihak doktor akan mengesyorkan tablet yang mengandungi kedua-dua estrogen dan progesteron, yang mana masing-masing membantu melegakan gejala dan melindungi rahim. Bagi wanita yang sudah menjalani histerektomi (prosedur membuang rahim), satu rawatan yang hanya mengandungi estrogen, seperti tablet atau cincin faraj, akan dicadangkan. Ada juga sejenis ubat yang dikenali sebagai tibolone yang membantu mengurangkan risiko osteoporosis, yang berkait rapat dengan kekurangan estrogen, tambah beliau.

Kebanyakan wanita boleh menerima rawatan terapi hormon, kecuali mereka yang menghidap barah payudara, berpenyakit hati, tromboembolisme (penyekatan pembuluh darah oleh gumpalan darah beku) dan penyakit jantung, kerana secara umumnya ia dianggap selamat kepada wanita yang sihat. Namun begitu, wanita yang sakit kronik pun boleh menerima rawatan tersebut selagi mana mereka terurus dengan baik.

Menerima menopaus dengan keyakinan

Menopaus menandakan peringkat baharu dalam kehidupan setiap wanita dan boleh diterima dengan penuh keyakinan. Ini bermakna berakhirnya episod sakit senggugut dan pendarahan, kurangnya kemungkinan pertumbuhan pelvik dan tidak perlu risaukan kemungkinan hamil atau menggunakan alat pencegah kehamilan. Selain itu, anda boleh meneroka cabaran baharu sementelah anak-anak pun sudah dewasa dan akan bersara tidak lama lagi, Malah, hehidupan seksual yang sihat juga masih boleh dinikmati semasa menopaus.

Bagi membolehkan anda menikmati masa itu, sentiasa beringat untuk kekal sihat dengan melakukan saringan kesihatan yang berkaitan dan menguruskan sebarang keadaan kesihatan yang kronik dengan baik. Nazimah menasihati para wanita untuk berjumpa doktor mereka dan bertanya mengenai mamogram untuk mengesan ketulan pada payudara, melakukan ujian pap smear untuk memeriksa sebarang tanda barah servik dan ujian kolonoskopi untuk memeriksa barah usus, kerana ini adalah tiga punca utama barah di kalangan wanita Malaysia. Ujian lain yang disyorkan termasuklah ujian darah untuk mengetahui keadaan seperti anemia dan diabetis, selain melakukan imbasan ketumpatan tulang untuk mengesan osteoporosis.

Tindakan mengubah cara hidup dan pemakanan juga boleh diambil. Bagi wanita berusia 51 tahun ke atas, adalah disarankan untuk meningkatkan pengambilan kalsium kepada 1,200mg sehari, selain Vitamin D3 untuk mencegah osteoporosis. Wanita menopaus juga dinasihati untuk berhenti merokok dan kerap melakukan senaman kegel/pelvik, senaman galas berat (seperti berjalan, berlari dan sebagainya) dan latihan kekuatan dengan bebanan.

“Kesimpulannya, menopaus bukanlah sejenis penyakit dan ia bukan tanda dunia sudah kiamat. Jadilah lebih berpengetahuan mengenai perubahan yang dialami badan anda supaya dapat mengurangkan kebimbangan. Seterusnya, anda boleh membantu dengan menyampaikan maklumat ini. Dari ibu kepada anak gadisnya, kawan kepada sahabatnya. Jadi, wanita lain dapat sama-sama memahami apa yang boleh dijangkakan sebelum dan selepas menopaus,” kata Nazimah.

Artikel sumbangan International Medical University

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast