Soal lain seperti kemurniaan akidah Islam, pemilikan ekuiti Bumiputra serta masa depan tanah rizab Melayu langsung tidak kedengaran pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023

SEBAGAIMANA agama, perkara yang berkaitan dengan bangsa paling mudah menarik perhatian. Dua benda yang membuat ada pihak yang boleh hilang akal apabila dijadikan momokkan untuk menitip kebencian satu sama lain.

Atas dua benda itulah, dua parti terbesar orang Melayu, iaitu UMNO dan Pas diasaskan yang bernaiwaitu melindungi kesucian, kemurniaan dan jaminan sampai bila-bila haknya akan dipulihara dan terpelihara.

Selepas 77 tahun ditubuhkan, parti yang pernah menjadi wadah terbesar orang Melayu dilihat semakin lusuh jatidiri dalam melaksana amanah yang diwaadat pada 11 Mei 1946, di Istana Besar Johor Bahru.

Ia berbeza dengan Pas yang berusia 72 tahun yang tidak meletakkan semangat kebangsaan sebagai asasnya tetapi meletakkan penubuhan negara Islam dengan pelaksanan undang-undang Islam sebagai cita-cita murni juga semakin pudar.

Bagi parti itu, nasionalisme adalah A’sabiyah, amalan berpuak-puak yang diwarisi dari zaman Jahiliyah.

Bahkan pada era 80 an dan tahun-tahun seterusnya, ia dijadikan modal oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan penceramah-penceramah parti itu seperti Datuk Seri Mohamad Sabu atau Mat Sabu, Datuk Mahfuz Omar dan ramai lagi untuk menghentam kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia Keempat.

Kalau dulu setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dilaungkan dewan keramat, parti keramat dan macam-macam keramat, kini tidak lagi dilaung seakan terkena badi.

Macam-macam pojokan dibuat hatta menjadi cacian.

Ketika itu, benci sungguh kumpulan ini dengan ideologi kebangsaan yang didokong Tun Dr Mahathir.

Namun, kini keadaan di sebaliknya.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), tiada lagi isu negara Islam dikokok Pas untuk membeli undi orang Melayu.

Apabila Barisan Nasional jatuh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), manhaj atau metodologi parti itu dengan idea yang diperjuangkan semakin kendur.

Pas sendirian…

Namun ia tidak kekal lama, apabila kerajaan yang dipimpin Tun Dr Mahathir yang kembali menjadi Perdana Menteri Kelapan tumbang dalam percaturan Langkah Sheraton.

Parti berkenaan kemudian membuka pintu dan sanggup bekerjasama dengan Bersatu dan UMNO ketika di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah khemah Muafakat Nasional (MN).

Hayat Pas dalam gabungan itu tidak panjang kerana selepas PRU-15, ia menolak untuk menyertai Kerajaan Perpaduan oleh Pakatan Harapan (PH) dan masih kekal berjodoh dengan Bersatu tetapi tidak dengan UMNO atau BN.

Dalam mencari-cari formula pembentukan kerajaan kerana tiada majoriti keputusan PRU-15, sejarah lalu menjadikan Pas dan Bersatu berkerat rotan dengan PH.

Ia menemui penyelesaian apabila, PH yang mendapat 82 kerusi Parlimen dengan BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (23 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam kerusi) dan Parti Warisan (tiga kerusi) campur Parti Bangsa Malaysia (PBM), Bebas dan KDM empat kerusi melayakkan sebuah kerajaan dibentuk.

Gerakan Tanah Air (GTA) yang menjadikan sentimen kepentingan orang Melayu gagal sama sekali memenangi sebarang kerusi. Bahkan penggerak utamanya, Tun Dr Mahathir sendiri kalah teruk sampai hilang wang deposit di kerusi yang selama ini dianggap selamat, Langkawi.

Kekalahan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan Pejuang menjadi petunjuk yang isu berkepentingan Melayu bukan lagi perkara dominan.

UMNO yang kalah teruk dengan hanya mendapat 26 kerusi, juga memberi isyarat yang serupa.

Melihat perkara itu, Tun Dr Mahathir yang khuatir menganjurkan Proklamasi Melayu dan atas tujuan nan satu beliau bersama sosok tubuh yang pernah mencelanya sebagai Asabiyah, iaitu Tan Sri Abdul Hadi.

Presiden Pas itu menandatanganinya bersama Tun Dr Mahathir, pendirian yang berputar 360 darjah kerana membenarkan agama diperjuangkan secara perkauman.

Apapun kedua-duanya melihat ia isu besar yang perlu ditangani bersama demi mengekalkan hak dan ketuanan Melayu.

Bagaimana pula dengan UMNO?

Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2023) yang berakhir 10 Jun lalu telah meluluskan tujuh agenda di mana dua daripadanya berkaitan kepentingan Melayu iaitu pelaksanaan Kongres Ekonomi Melayu serta program meningkatkan ekonomi wanita muda dan membantu individu bankrap serta pendidikan Mara.

Soal lain seperti kemurniaan akidah Islam, pemilikan ekuiti Bumiputra serta masa depan tanah rizab Melayu langsung tidak petik.

Usul, cadangan dan perbahasan banyak berselirat dengan topik-topik yang menjadi isu politik sensasi.

Kalau dulu dilaungkan dewan keramat, parti keramat dan macam-macam keramat, kini tidak lagi dilaung seakan terkena badi.

Ia senario yang berbeza dengan Pas, meskipun tidak lagi menjadikan penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud sebagai matlamat utama ketika ini, doktrinasi kepimpinan ulama mencengkam kuat di akar umbi, sesuatu yang berbeza dengan UMNO.

Melihat kepada situasi semasa, populariti banyak memihak kepada PH kerana sifatnya yang pelbagai kaum yang ada di negara ini dengan tidak menjadikan agama dan bangsa sebagai modal parti tetapi satu perkara yang akan menjerut diri kerana terlalu banyak ‘janji manismu’.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Jangan lupa kibbutz di tanah rizab Melayu istimewa membesar sehingga sebijik sebesar kibbutz di Singapore berpotensi jadi model solusi dua negara untuk konflik Palestine-Israel muka tebal lurus bendul politikus Pak Pandir ooii!

Comments are closed.