Kelambu hitam yang menutupi Kaabah - adalah antara yang paling menarik perhatian pengunjung di Islamic Arts Biennale, foto Bernama

JEDDAH  – Tidak dapat disangkal, Kiswah – kelambu hitam yang menutupi Kaabah – adalah antara yang paling menarik perhatian pengunjung di Islamic Arts Biennale, pameran kesenian Islam yang pertama seumpamanya pernah diadakan, berlangsung selama empat bulan hingga esok di sini.

Keunikan dan keindahan kelambu sutera hitam itu memukau mata yang melihat. Dipercayai diperbuat daripada 47 helai kain sutera asli, Kiswah menampilkan sulaman benang emas. Lapisan luar kain itu dijahit menggunakan sutera mentah seberat 670 kilogram.

Dijadual diadakan dua tahun sekali, Islamic Arts Biennale yang pertama itu – dihoskan oleh Diriyah Biennale Foundation (DBF) dan dianjurkan dengan bantuan Kementerian Kesenian Arab Saudi – berlangsung di Terminal Haji, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di sini.

Lebih 300 artifak daripada ketamaduan Islam dipamerkan di venue seluas 12 kilometer persegi, merangkumi lima galeri dan dua pavilion.

ARTIFAK ZAMAN KUNO

Bahan bersejarah terbabit, dipinjamkan oleh lebih 40 institusi antarabangsa, turut merangkumi beberapa artifak mengagumkan seperti 30 manuskrip daripada daun bertulis ayat-ayat al-Quran versi terawal yang dipercayai ditulis lebih 1,000 tahun lalu.

Satu lagi artifak menarik ialah rab’ah, iaitu kotak al-Quran daripada kayu yang dihasilkan oleh Hasan Qutlubak, dipercayai antara bahan bersejarah yang jarang ditemukan terselamat, dari separuh pertama abad kelapan atau ke-14. Bahan pameran lain termasuk kaki dian loyang, bertarikh 1317-1318 yang diperbuat di Iraq, bagi menghiasi  Masjid Nabawi di Madinah.

“Semasa kami mula merancang untuk mengadakan pameran yang pertama seumpamanya ini, kami tahu pameran ini memerlukan pemikiran baharu tentang sumbangan kesenian Islam terhadap kreativiti berskala dunia, dan tentang kepelbagaian serta nuansa pengalaman orang Islam selama ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif DBF Aya Al Bakree.

“Institusi serantau dan global yang mengumpul sebahagian daripada artifak yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini, telah memberi sumbangan besar kepada acara ini, khususnya pameran istimewa kami ‘Al-Madar’ (The Orbit) yang menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh institusi terbabit dalam memelihara dan mempromosi warisan budaya,” tambah beliau.

Sumayya Vally, Pengarah Kesenian  Islamic Arts Biennale 2023 dan seorang daripada empat kurator pameran itu, berkata tema pameran “Awwal Bait” (First House), merujuk kepada Rumah Pertama Allah, iaitu Kaabah di Makkah yang merupakan tapak paling suci dalam Islam dan menjadi arah solat buat seluruh umat Islam di dunia, tidak kira di mana mereka berada.

“Kami memilih tema ini untuk menunjukkan kepada dunia bagaimana Kaabah itu menyatupadukan umat Islam, mengikat mereka secara rohani dan memupuk semangat kemasyarakatan yang kukuh.

“Pameran ini dibahagikan kepada tiga seksyen bagi membolehkan pengunjung benar-benar memahami tema utama. Seksyen pertama ialah tentang kiblat atau arah (solat umat Islam) dan dipamerkan di galeri. Seksyen kedua ialah Hijrah dan dipamerkan di kedua-dua pavilion, sementara seksyen ketiga ialah Al-Madar, platform terkini yang mengintergrasikan serta menghubungkan semua institusi dan koleksi mereka di seluruh dunia,” jelas beliau.

MENYATUPADUKAN UMAT ISLAM 

 

Pelawat turut berpeluang melihat tiang kayu asal Kaabah – dipamerkan di sebuah daripada lima galeri – yang dibuat pada tahun 683 ketika pemerintahan Khalifah Abdullah Al-Zubair,

Tiang itu diperbuat daripada kayu jati dan merupakan antara satu daripada tiga tiang di dalam Kaabah yang menyokong siling bawah. Amat mengagumkan kerana sekalipun telah berusia lebih 1,300 tahun, tiang itu masih kelihatan baharu.

Pelbagai hasil seni daripada artis Islam kontemporari seperti  M’barek Bouhchichi dan Beya Othmani juga dipamerkan di kesemua galeri.

Sementara itu, dua pavilion – Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah – menampilkan pelbagai bahan bersejarah dari dua tapak paling suci umat Islam, iaitu Masjidil Haram di Makkah dan  Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah.

Kurator Islamic Arts Biennale 2023 Dr Julian Raby yang juga Pengarah Emeritus National Museum of Asian Art, Smithsonian Institution di Washington DC, berkata koleksi yang dipamerkan di pavilion memberi peluang pelawat melihat sepintas lalu “Haramain” (dua kota suci – Makkah dan Madinah) pada masa lalu dan sekarang.

“Kami mahu mengimbas perjalanan pertama Nabi Muhammad dan pengikut setia baginda dari Makkah ke Madinah serta bagaimana hijrah itu menandakan bermulanya era Islam, iaitu kalendar Hijrah.

“Menerusi pavilion ini, kami juga mahu meraikan bagaimana ibadat haji mewarnai kehidupan budaya Hijaz, sebuah wilayah di barat Arab Saudi, apabila jutaan jemaah dari seluruh dunia datang dan membawa cara mereka beribadat, juadah serta kebudayaan mereka ke Jeddah dan Haramain,” katanya.

Antara artifak yang dipamerkan di pavilion Madinah ialah kunci mangga bagi makam Nabi Muhammad SAW yang diperbuat pada abad ke-17.

Di pavilion Makkah pula, pelawat boleh menyaksikan pintu asal Kaabah, diperbuat sama ada di Istanbul atau Kaherah, bertarikh sekitar 1635-1636, serta sabuk bersulam yang diikat mengelilingi Kaabah.

Berukuran 102.5 x 673 sentimeter dan diperbuat daripada benang sutera, kapas dan logam, Hizam menampilkan inskripsi al-Quran yang cukup besar untuk dibaca oleh jemaah dari jarak jauh. – BERNAMA