PEKAN – Seorang banduan daripada Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) yang dilaporkan hilang dari lokasi pengawasan sejak lima hari lalu ditemui hari ini.
Sejak semalam hebahan poster hitam putih menerusi media sosial melaporkan status banduan yang dikehendaki itu hilang daripada tempat dia dilaporkan bekerja.
Maklumat hebahan Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Pekan itu melaporkan status terakhir banduan adalah di Sungai Jernih, Pekan.
Suspek berusia 38 tahun itu dilaporkan hilang oada 9 Jun lalu lebih kurang pada 7.20 pagi.
Menurut sumber, lelaki itu telah ditemukan dan dihantar dengan selamat ke Penjara Penor, Kuantan kira-kira 8.30 malam tadi.
Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pejabat Parol Negeri Pahang berikutan pelanggaran syarat pembebasan tersebut.
Sepatutnya banduan tersebut akan dibebaskan pada 20 Julai inin setelah mendapat lesen PBSL pada 6 Jun 2023. – MalaysiaGazette