PH PTPTN
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Seorang ahli parlimen pembangkang menyifatkan Indeks Hak Transgender Sedunia yang dikeluarkan meletakkan Malaysia pada kedudukan kedua terburuk dalam isu berkaitan hak golongan transgender sebagai sesuatu yang berbaloi.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bagaimanapun berkata, berkemungkinan ada yang kurang senang mengenai laporan tersebut.

“Tetapi dalam kita berdepan dengan nilai yang telah ditetapkan Perlembagaan Persekutuan, kalau terpaksa kita menghadapi indeks yang buruk seperti ini, saya kira ia berbaloi sebenarnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi tahun 2020.

Terdahulu, terdapat laporan yang menunjukkan Malaysia diletakkan sebagai negara kedua paling teruk dalam isu berkaitan hak-hak golongan transgender selepas Guyana.

Kedudukan itu lebih buruk daripada Arab Saudi, Malawi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dyang berada pada kedudukan ketiga hingga kelima.

Pada masa sama, Ahmad Fadhli turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah merampas koleksi jam yang mempunyai unsur normalisasi terhadap komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) baru-baru ini.

“Saya harapkan kepada kawan-kawan dalam KDN supaya meneruskan dan melaksanakan tanggungjawab ini sebagaimana yang telah ada dalam peraturan. Jangan kita tertekan dengan tekanan-tekanan antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette