Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menegaskan sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ikhlas menerima kembali beliau, maka parti itu harus membatalkan pemecatannya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, beliau tidak akan membuat rayuan atas pemecatan yang dibuat oleh UMNO pada Januari lalu.

“Kalau betul-betul Presiden (Ahmad Zahid) ikhlas, maka kena batalkan secara automatik penggantungan dan juga pemecatan kami. Keputusan yang dibuat oleh Presiden menggantung dan memecat pemimpin UMNO ini ialah ultra vires ertinya di luar kuasa undang-undang.

“Saya tidak perlu merayu sebaliknya MT hendaklah membatalkan keputusan pemecatan dan menerima kembali keahlian saya secara automatik. Pemecatan dan penggantungan kami adalah tidak sah kerana Presiden tidak mengikut peraturan dan perlembagaan parti,” katanya menerusi rakaaman video Facebook, hari ini.

Noh berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bahawa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti bersifat terbuka atas saranan perwakilan untuk menerima kembali ahli yang telah dikenakan tindakan disiplin sama ada dipecat ataupun digantung oleh parti.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, UMNO mempunyai Perlembagaan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebelum menerima semula ahli yang dipecat atau digantung.

Semalam, ahli UMNO yang digantung, Datuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempersoalkan pelawaan Ahmad Zahid bahawa parti itu sentiasa terbuka untuk menerima kembali ahli-ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin, termasuk mereka yang digantung atau dipecat.

Hishammudin berkata, gesaan yang disuarakan Ahmad Zahid dilihat canggung kerana bekas Naib Presiden UMNO itu tidak tahu punca beliau digantung parti.

Dalam pada itu, Noh berkata, pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin sebelum ini termasuk beliau adalah tidak sah.

Ini kerana, katanya, mengikut peraturan UMNO apabila seseorang itu mahu diambil tindakan displin ia perlu melalui Lembaga Displin.

“Dia (Ahmad Zahid) menipu MKT mengatakan bahawa dia telah berbincang dengan Lembaga Dislpin.

“MKT mesyuarat hari Sabtu, saya dipanggil oleh Lembaga Displim pada Isnin. Malam mesyuarat MKT terus buat keputusan menggantung saya selama enam tahun, sebab itulah saya tidak puas hati mengapa tidak mengikut peraturan.

“Kalau UMNO ini hendak diurus mengikut kehendak seseorang maka lebih baik saya dipecat daripada UMNO kerana kena ingat UMNO bukan hak milik Presiden tetapi ia dimiliki lebih 3.5 juta ahli.

“Jangan ingat UMNO ini kita punya, kalau Presiden waktu memecat kami tidak mengikut peraturan, mengapa bila nak merayu nak mengikut peraturan,” katanya.

Pada mesyuarat MKT UMNO 27 Januari lalu, keahlian Noh digantung disebabkan 16 pertuduhan dihadapi beliau kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, keputusan menggantung keahlian Noh bukannya disebabkan beliau tidak bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang dibawa dalam PAU 2022.

Noh bagaimanapun meminta untuk dipecat oleh parti setelah keputusan dibuat untuk menggantung beliau selama enam tahun. – MalaysiaGazette