banglo Guan Eng saw yee fung kerajaan PH bekalan gula
Saw Yee Fung

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mengembalikan pemberian biasiswa MyBrain15 yang dihentikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Jurucakap MCA, Saw Yee Fung berkata, Program MyBrain15 ini merupakan salah satu projek di bawah kerajaan Barisan Nasional terdahulu yang bertujuan membiayai pengajian para graduan yang layak untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Malangnya, program ini telah dimansuhkan Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 kerana dianggap membebankan kewangan negara.

Keputusan ini akhirnya telah menjejaskan seramai 10,600 graduan negara dan secara langsung membantutkan sasaran kerajaan untuk membangunkan dan memupuk sekurang-kurangnya 100,000 bakat muda dalam bidang sains dan teknologi.

Menurutnya, program ini perlu dikembalikan semula kerana selari dengan peningkatan pesat era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) hari ini dan negara memerlukan lebih ramai bakat.

Program ini berupaya menggalakkan pembangunan negara merangkumi pelbagai bidang berkaitan termasuklah kecerdasan buatan (AI), data raya atau ‘big data’, sains data, inovasi serta lain-lain kepakaran yang diperlukan pada zaman ini, seterusnya memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaya saing.

Keputusan ini akhirnya telah menjejaskan seramai 10,600 graduan negara dan secara langsung membantutkan sasaran kerajaan untuk membangunkan dan memupuk sekurang-kurangnya 100,000 bakat muda dalam bidang sains dan teknologi.

“Harus ditekankan Program MyBrain15 merupakan program rancangan jangka masa panjang bagi memastikan pembangunan mampan negara. Selain memupuk bakat yang lebih berpengetahuan dan inovatif dalam sains dan teknologi, ia juga secara langsung menyumbang kepada daya saing negara di dalam bidang pembangunan digital,” katanya dalam kenyataan di sini.

Yee Fung berkata, pendidikan merupakan asas kepada pembangunan mana-mana negara, oleh itu, bagi memastikan Malaysia terus kekal seiring dengan perkembangan zaman, pendidikan tidak wajar dikorbankan atas apa jua alasan yang tidak munasabah.

Tambahan lagi, pendidikan juga boleh dianggap sebagai satu pelaburan dengan pulangan yang tinggi, yang mana setiap bakat yang ditaja oleh kerajaan dapat menyumbang semula kepada pembangunan teknologi negara pada masa depan.

Atas sebab-sebab ini, kerajaan digesa memulakan semula program MyBrain15 dengan mengambil kira manfaat dalam jangka masa panjang, dan bukan hanya terlalu fokus kepada jangka masa pendek, tambahnya.

Pada masa sama, kerajaan juga digesa meneruskan semua jenis biasiswa pendidikan bagi sarjana muda yang merupakan sumber tenaga manusia negara, dan juga bagi lepasan ijazah yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsahah (PhD) dan seterusnya menjadi pakar di dalam penyelidikan santifik, akademik dan lain-lain.

Di samping itu, kerajaan hendaklah meneruskan pembiayaan dan sokongan terhadap penyelidikan-penyelidikan yang dijalankan oleh para ilmuan negara.

Dengan ini, kerajaan boleh memastikan bahawa pelaburannya di dalam pendidikan rakyat Malaysia dapat memulangkan hasil yang besar dan bermanfaat kepada negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast