GEORGE TOWN – Dua bot nelayan Indonesia bersama 500 kilogram (kg) hasil laut ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang di Pulau Kendi, di sini.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, dua bot tersebut ditahan dalam serbuan berasingan pada Ahad dan Isnin lalu ketika KM Burau melakukan rondaan di bawah Op Pertiwi.
“Tangkapan pertama jam 10.13 pagi dilakukan ke atas bot yang dikendalikan empat kru termasuk tekong Indonesia didapati masing-masing sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan tersebut.
“Turut dirampas hasil perikanan iaitu 400 kg ikan pelbagai jenis.
“Manakala tangkapan kedua dilakukan jam 10.30 malam semalam yang membawa kepada tangkapan empat kru serta rampasan 100 kg ikan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah Abd Razak, kesemua lapan kru Indonesia berusia lingkungan 13 hingga 20 tahun itu turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dan bot dikendalikan nelayan berkenaan turut di sita.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di dalam perairan perikanan Malaysia tanpa permit yang sah dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah,” jelas beliau. – MalaysiaGazette