37 kotak daging kerbau dengan berat anggaran 740 kilogram dirampas Maqis di Pelabuhan Pasir Gudang, semalam.

PASIR GUDANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyita 37 kotak daging kerbau seberat 740 kilogram bernilai RM11,700 yang dibawa masuk dari India di Pelabuhan Pasir Gudang, semalam.

Daging itu disita kerana kotak berkenaan tertera tarikh penyembelihan, pembuatan,  luput dan nama pengimport yang tidak sama seperti yang dinyatakan pada sijil halal yang dikeluarkan.

Perbuatan dilakukan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana memberi perakuan atau dokumen lain yang tidak tepat dan mengelirukan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13 Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette