KOTA KINABALU – Empat individu termasuk seorang yang mengaku bergelar ‘datuk’ ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan berkaitan sebuah projek minyak dan gas yang bakal dilaksanakan di Kudat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek berusia antara 40 dan 61 tahun itu ditahan di sebuah hotel di sini, kira-kira 4 petang, 5 Jun lepas.
“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis membuat tangkapan ke atas empat individu yang dikatakan cuba menawarkan projek berkaitan minyak dan gas yang dinamakan Kudat Oil and Gas Industrial (KOGIP),” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawad, IPK Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, kesemua suspek didapati tidak mempunyai kuasa atau akses ke atas projek berkenaan.
“Modus operandi mereka adalah dengan menawarkan projek berkenaan dan meminta wang pendahuluan, setakat ini belum ada individu atau kontraktor yang tertipu.
“Siasatan juga mendapati mereka ini menjadi orang tengah untuk mendapatkan projek berkenaan, tetapi ia (projek itu) difahamkan belum sampai peringkat untuk ditawarkan dan masih dalam proses perbincangan,” katanya.
Katanya, kesemua mereka berasal dari luar Sabah dan pernah melakukan penipuan di beberapa negeri lain, selain pihaknya akan menyiasat gelaran ‘datuk’ tersebut.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu. – Bernama