Keadaan kereta dinaiki dua beradik yang dirempuh lori tangki di Jalan Kuantan – Segamat, di sini malam tadi.

KUANTAN – Dua beradik perempuan maut dalam nahas kemalangan apabila kereta dinaiki mereka dilanggar sebuah lori tangki minyak  berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di Jalan Kuantan- Segamat, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-kedua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Mangsa yang maut disahkan sebagai Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 17, dan kakaknya, Siti Mazurah Zulkifli, 30.

Semasa kejadian kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan balik ke rumah.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak di Gambang telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa.

“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa yang menaiki Proton Wira telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Zahari berkata jenazah kedua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette