KUALA NERUS – Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan bergaya ke atas pasukan di ranking lebih tinggi, Kepulauan Solomon 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam ini.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang berhasrat melebarkan rekod kemenangan bermula baik apabila mendominasi permainan 10 minit pertama sebelum dikejutkan dengan gol pembukaan Kepulauan Solomon yang rata-ratanya dibarisi pemain amatur seminit kemudian.

Penyerang muda Raphael Lea’i, satu-satunya pemain profesional dalam pasukan meledak gol pembukaan apabila mudah menolak bola ke gawang yang ‘kosong’ untuk memanfaatkan hantaran lintang Gagame Feni selepas berjaya memperdaya penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia bangkit memperkemaskan permainan dan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu lawan sebelum segala usaha membuahkan hasil dengan gol penyamaan menerusi pemain naturalisasi Paulo Josue pada minit ke-40.

Ia merupakan jaringan pertama Josue bersama Malaysia selepas sah menjadi pemain naturalisasi Februari lepas.

Menghampiri rehat, pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi turut mencetak jaringan pertama bersama skuad senior selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan separuh masa pertama sekali gus meletakkan pasukan negara mendahului 2-1.

Malaysia mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan seawal 10 minit pertama babak kedua masing-masing menerusi Arif Aiman dan Josue, namun penjaga gol Phillip Mango bertindak cemerlang untuk menafikan kedua-dua percubaan berbahaya itu.

Berbaki 20 minit sebelum masa penuh, Pan Gon membuat beberapa pertukaran antaranya membawa masuk Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Rashid dan Lee Tuck yang menyaksikan percaturan itu memberi impak positif.

Muhammad Safawi yang kurang beraksi di peringkat domestik membuktikan masih mempunyai sentuhan apabila meledak gol ketiga Malaysia pada minit ke-77 menerusi sepakan separuh voli dalam kotak penalti sebelum Tuck melengkapkan malam cemerlang Malaysia dengan gol keempat pada masa tambahan.

Sebagai rekod, Malaysia di kedudukan ke-138 dalam ranking dunia sementara Kepulauan Solomon yang dibimbing jurulatih dari Sepanyol Felipe Vega-Arango ke-134.

Kemenangan malam ini menyaksikan Malaysia meraih kemenangan ketiga dalam jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tahun ini selepas turut menewaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong (2-0) di Johor, Mac lepas.

Malaysia akan berdepan Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di sini, Selasa depan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast