SHAH ALAM – Motif seorang lelaki yang ditembak mati di kepala dengan lima das tembakan di kepala berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat pada Mei lalu kini menjuruskan kepada elemen pergaduhan, dendam dan kongsi gelap.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis juga menunjukkan mangsa dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah pemerasan dan kongsi gelap.
“Kita percaya ada beberapa motif sama ada mangsa tembak mati akibat pergaduhan atau dendam ataupun aktiviti kongsi gelap> Kita siasat kedua-dua motif itu.
“Siasatan lanjut sedang diteruskan yang mana kita juga mengumpul keterangan selain menganalisa beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di lokasi kejadian itu,” katanya dalam sidang media di sini ketika ditanya mengenai perkembangan terkini dalam kes tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dengan 13 rekod kesalahan lampau mati ditembak
Tambah beliau, polis pada masa yang sama juga percaya mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian ini juga salah seorang ahli kongsi gelap yang terlibat dalam jenayah pemerasan.
Setakat ini polis sudah mengambil percakapan daripada seramai 18 individu, termasuk dua suspek lelaki yang telah ditangkap bagi membantu siasatan pada 23 Mei lalu sebelum mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kita masih belum mempunyai keterangan yang mencukupi dan polis berusaha mengumpul keterangan sebelum pertuduhan boleh dilakukan dalam kes terbabit,” ujarnya.
Mangsa, 39, ditemui terbaring di bahu jalan dalam keadaan berdarah pada lewat malam18 Mei lalu.
Dia tembak oleh suspek bertopi keledar yang menaiki motosikal.
Unit Forensik Kontinjen Selangor telah hadir dan menjumpai lima kelongsong peluru di kawasan sekitar tempat kejadian dan pemeriksaan ke atas mangsa menemui empat kesan tembakan di bahagian kepala.
Semakan polis mendapati simati mempunyai 13 rekod jenayah kesalahan lampau. – MalaysiaGazette