Gambar ihsan Polis Daerah Kuala Langat dan Forensik IPK Selangor melakukan siasatan di lokasi kejadian seorang lelaki memiliki 13 rekod jenayah lampau mati ditembak suspek tidak dikenali Banting malam tadi.Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan yang memiliki 13 rekod jenayah kesalahan lampau telah mati ditembak individu tidak dikenali dalam satu kejadian di  Sungai Jarom, Kuala Langat dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya mendapati mangsa ditemui terbaring di bahu jalan dalam keadaan berdarah.

“Pihak polis telah membuat pemeriksaan awal sebelum mendapati mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, menurut Ahmad Ridhwan, polis pada 11.30 malam  telah menerima laporan dari seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun merupakan anggota sukarelawan polis mengatakan berlaku satu kejadian kes tembak berhampiran balai Polis Sungai Jarom.

Katanya, semasa kejadian berlaku pengadu sedang bertugas sentri  telah mendengar beberapa letupan yang kuat berhampiran balai polis berkenaan dan terus bergegas menuju ke kawasan kejadian itu.

Tambah beliau, pihak Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang telah hadir dan mengesahkan bahawa mangsa telah mati di tempat kejadian akibat daripada pendarahan yang berlaku di bahagian kepala.

Menurutnya, Unit Forensik Kontinjen Selangor telah hadir dan menjumpai lima kelongsong peluru di kawasan sekitar tempat kejadian.

“Justeru, pemeriksaan ke atas mangsa juga dapati terdapat empat kesan tembakan di bahagian kepala,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana
kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Pihak polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu,” tegasnya.

Beliau turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis dan menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222. – MalaysiaGazette