Penunggang motosikal Ducati warga emas maut semasa elak penunggang motosikal lawan arus di susur keluar SUKE menghala ke MRR2, di Ampang Jaya tengah hari ini. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut hari ini selepas tercampak ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang ditunggang melawan arus di Kilometer 22.2 Lebuhraya Duta-Hulu Kelang (SUKE) menghala Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal jenis Ducati Panigale yang ditunggang lelaki warga emas berusia 60-an sedang melalui jalan berselekoh.

“Tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah bertentang di bahu sebelah kanan jalan dalam keadaan melawan arus jalan lalu menyebabkan penunggang motosikal jenis Ducati Panigale itu cuba untuk mengelak lalu terus melanggar penghadang sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, akibat rempuhan kuat pada penghadang jalan menyebabkan mangsa terhumban dan jatuh dari jejambat itu ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 meter dan motosikalnya terseret ke tengah jalan.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan SMART Sungai Klang.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala sebuah lagi motosikal yang terlibat dalam kejadian ini telah meninggalkan tempat kejadian dan tindakan untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan,” jarnya

Sementara itu, Mohd Azam berkata, polis akan meneliti rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette