CHERAS – Sekumpulan saintis dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) percaya gaya hidup dan tahap kesihatan manusia prasejarah kini boleh ditentukan melalui alat radas pengimejan moden yang lazimnya digunakan pada pesakit.
Penentuan ini adalah rentetan penemuan satu rangka lengkap manusia prasejarah yang hidup antara 14,000 tahun dahulu.
Rangka tersebut telah ditemui semasa ekskavasi arkeologi dijalankan di Gua Keledung Kecil, daerah Gua Musang, Hulu Kelantan. Pasukan arkeologi tersebut telah diketuai oleh Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, pada Januari 2023.
Seterusnya, kajian untuk menentukan status kesihatan manusia prasejarah ini akan diketuai oleh pakar Farmakologi, Profesor Dr. Ima Nirwana Soelaiman, dari Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, UKM.
Menurut beliau yang juga pakar farmakologi, status kesihatan tulang ditentukan melalui dua cara.
Pertama, pengukuran ketumpatan tulang menggunakan alat radas Dual-Energy X-ray Absorptiometer.
Ketumpatan tulang prasejarah yang didapati melalui kaedah ini dibandingkan dengan ketumpatan tulang manusia masakini (manusia moden) yang diukur menggunakan kaedah yang sama.
Kedua, struktur dalaman tulang dapat dilihat dan diukur menggunakan alat radas Micro-Computed Tomogram. Imbasan yang terhasil akan dibina semula menjadi imej 3-dimesi menggunakan perisian khusus. Pengukuran secara kuantitatif juga boleh dijana menggunakan perisiian. Data yang diperolehi
dibandingkan dengan data daripada tulang manusia moden,” katanya.
Tambah beliau, proses menganalisis tulang-tulang ini akan memakan masa tiga hingga empat bulan.
“Tulang dibersihkan dengan cara merendam dalam air selama dua hingga tiga minggu sehingga tanah yang melekat menjadi lembut dan tulang dapat dicuci bersih. Proses ini dianggarkan mengambil masa sebulan.
“Kemudian, tulang yang rapuh ini dikuatkan dengan menggunakan etil metakrilat yang juga mengambil masa sebulan. Seterusnya, dua minggu diperlukan untuk mengukur saiz tulang-tulang tersebut.
Akhirnya, barulah penentuan ketumpatan dan struktur dalaman tulang boleh dibuat dalam masa sebulan,” jelas beliau.
Para penyelidik lain yang terlibat adalah Profesor Madya Dr. Elvy Suhana Mohd. Ramli (pakar anatomi), Profesor Madya Dr. Chin Kok Yong (pakar Farmakologi) dan Dr. Wong Sok Kuan, (pakar Farmakologi) dari Fakulti Perubatan UKM. Manakala penentuan jantina dan umur ketika maut akan dijalankan oleh Dr. Nur Atika Md. Ashar, pakar odontologi forensik dari Fakulti Pergigian UKM.
Kajian ini adalah kajian pertama di rantau ini yang menganalisis tulang prasejarah mengguna pakai alat radas pengimejan moden. Dengan teknik-teknik ini, kajian atas peninggalan tulang manusia prasejarah menjadi mudah dan lebih saintifik. Data yang diperolehi secara saintifik adalah penting untuk memastikan penerimaan pakar antarabangsa terhadap penemuan ini.
Yang lebih penting, kedua-dua kaedah ini tidak memerlukan tulang dipotong atau dihancurkan untuk memelihara keutuhan rangka-rangka mansuia prasejarah ini kerana ianya amat berharga, sukar dijumpai serta mengandungi pelbagai maklumat yang bakal dikaji.
Rangka yang utuh membolehkan penyelidik-penyelidik lain menjalankan kajian mengenainya di masa akan datang.
Kajian ini merupakan kolaborasi unik antara para penyelidik bidang sains sosial (arkeologi) dengan para penyelidik bidang sains kesihatan (perubatan dan pergigian). Ini sejajar dengan pendekatan holistik terhadap penyelidikan ke atas manusia, sama ada manusia moden ataupun manusia prasejarah.
Hasil daripada kajian ini akan memperkayakan pengetahuan dan pemahaman kita mengenai gaya hidup dan taraf kesihatan manusia prasejarah. Namun, lebih penting lagi, ilmu yang diperolehi berkemungkinan boleh diaplikasi untuk jagarawatan kesihatan manusia zaman ini.
Namun begitu, kajian ke atas manusia prasejarah di Malaysia masih amat terhad. Penemuan daripada kajian ini akan digunakan untuk membina satu pengkalan data khusus mengenai ciri-ciri biologi tulang manusia prasejarah.
Pengkalan data ini dapat dirujuk oleh para pengkaji untuk membandingkan ciri-ciri manusia purba dan manusia moden, serta juga perbandingan dengan manusia purba dari kawasan lain di dunia. – MalaysiaGazette