Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-PN) untuk merujuk Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat-PH) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Shahidan sebelum ini mendakwa kenyataan Mohd Sany padanya telah mencemarkan kesucian Dewan Rakyat.

“Saya baru baca dan Dewan tercemar dengan mulut dia yang mengganggu,” adu Shahidan kepada Johari.

“Aturan Mesyuarat kalau disebut hari ini, kena bawa hari ini, yang kelmarin tidak aci (tidak adil), tidak boleh,” jawab Johari.

“Lain kali (Ahli Parlimen) Arau stanby (siap sedia) kalau dia (Hulu Langat) sebut sahaja, Arau terus bangun buat ‘lagu’ itu (bangkitkan Peraturan Mesyuarat),” nasihat Johari kepada Shahidan.

Sebelum itu, Shahidan membangkitan tiga usul antaranya usul untuk Dewan Rakyat membincangkan isu keciciran pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Baru-baru ini dilaporkan lebih 458,000 lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam masa tiga tahun sejak 2020,” kata Shahidan.

Dua lagi usul Shahidan adalah isu projek pembinaan kapal tempur (LCS) yang mana Johari berkata, ia telah mendapat perhatiannya dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan membuat lawatan.

Menurut Johari Dewan Rakyat akan mendapat laporan penuh mengenai lawatan itu tidak lama lagi.

“Saya akan membenarkan isu LCS untuk dibawa ke Dewan Rakyat,” jelas Johari.

Satu lagi usul yang dibawa beliau adalah mengenai kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengeluarkan kenyataan menyinggung kumpulan dominasi agama, kata Shahidan lagi.

“Perdana Menteri telah mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ kepada Kumpulan Dominasi Agama dan juga perkauman, jadi saya nak mintak penjelasan ‘bodoh’ ini untuk siapa. Sebab dalam ini semua yang baik-baik sahaja, mohon pertimbang,” kata Shahidan.

Johari menegaskan, beliau sudah menerima tiga usul terdahulu Shahidan dan akan mempertimbangkan usul-usul tersebut.

“Saya baru terima usul tidak sampai 24 jam lagi Arau, jadi ketiga-tiga usul itu saya sudah terima. Saya akan buat keputusan, dan usul amat menarik, saya akan pertimbangkan,” kata Johari lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast