Hasni pemilihan
Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI – Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, tidak mengendahkan tohmahan dan dakwaan yang mengaitkan namanya sebagai ‘Pendekar Mustar’.

Malah, bekas Menteri Besar Johor ini juga enggan mengambil peduli dengan isu berkenaan.

“Ya saya tahu (tentang gelaran) tetapi percayalah saya langsung tidak mengambil endah dengan label yang diberikan.

“Ini bukan masanya untuk melabel sesiapa. Lebih-lebih bila kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk menjadikan negara kita sebagai destinasi pelaburan, selain banyak usaha perlu dilakukan untuk menstabilkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidamgan Kedua Dewan Negeri Johor ke-15 hari ini.

Hasni menambah, tidak mungkin kerajaan hari ini boleh stabil jika UMNO tidak dalam keadaan kukuh.

Jadi, tambahnya, tindakan melabel pemimpin atau bekas pemimpin UMNO sebagai ‘warlord’, pengkhianat dan parasit, ini bukan pendekatan mencari kebaikan, malah menyumbang kepada ketidakstabilan kerajaan.

Tegasnya, masalah yang dihadapi UMNO juga tidak akan selesai dengan menimbulkan tohmahan dan dakwaan.

“Apa baiknya kalau masalah sedia ada ditambah dengan memberi label negatif  kepada orang-orang mahupun kepada pemimpin tertentu,” soal beliau.

Lagipun, gelaran seumpama itu tidak akan membantu mewujudkan sinergi kerjasama baik dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Ini bukan masanya untuk melabel sesiapa sebagai warlord, pengkhianat atau parasit, itu semua tidak sesuai kerana ia bukannya pendekatan untuk mencari kebaikan, lebih-lebih lagi dalam usaha menstabilkan kerajaan.

“Begitu juga dengan usaha memberi ruang ke atas mereka yang sudah diambil tindakan, dipecat atau digantung kerana apa juga kaedahnya, masalah yang ada tidak selesai,” ujarnya.

Kelmarin, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman meminta pemimpin dan ahli UMNO yang mempunyai rasa kurang senang hati dengan hala tuju baharu parti agar tidak menjadi parasit yang hanya akan merosakkan parti.

Abdul Halim dilaporkan berkata, golongan berkenaan sepatutnya menggunakan saluran parti untuk menyatakan sebarang pendapat dan bukan buat kenyataan terbuka semata-mata demi publisiti.-MalaysiaGazette