KUALA LUMPUR – Boustead Holdings Berhad (BHB) tidak mengadakan sebarang perbincangan berhubung pelupusan perniagaan Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd., juga dikenali sebagai BHPetrol.
Malah, BHB tidak melantik mana-mana penasihat untuk transaksi potensi korporat seperti yang dilaporkan oleh media.
BHB dalam kenyataannya menjelaskan, syarikat itu kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada tetapan semula seluruh kumpulan ini selepas pengambilalihan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan penyahsenaraian BHB.
“BHB akan mengumumkan pelan transformasi kumpulan selaras dengan komitmen kami.
“Keutamaan BHB adalah untuk menjajarkan semula secara strategik, mengoptimumkan portfolio kami dan memperuntukkan sumber kepada bidang yang menawarkan potensi pulangan lebih tinggi, memacu pertumbuhan yang mampan sambil memaksimumkan pulangan untuk pemegang saham,” katanya.
BHB menjawab spekulasi kononnya sedang mempertimbang untuk melupuskan stesen minyak pada harga RM2 bilion. – MalaysiaGazette