Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambaikan tangan kearah orang ramai selepas melawat Pusat Penjaja Madani Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengakui pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar termasuk diesel dan petrol RON95 tidak mudah.

Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan mahu ia dilakukan secepat mungkin dan sedang berusaha ke arah itu.

Proses meneliti beberapa cadangan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar terbabit bersifat efektif sedang dijalankan.

“Pelaksanaan tidak mudah…kita berusaha ke arah itu melalui pasukan yang kini sedang meneliti beberapa proposal (cadangan)…kalau siap esoklah (untuk pelaksanaan) tetapi kita masih berusaha.

“Ia sangat rumit…kalau elektrik okay sebab kita boleh kenal pasti rumah atau kilang tetapi diesel berbeza dan perkara ini kita perlu kaji,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Penjaja MADANI, di Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan menerangkan, subsidi bersasar bermaksud bantuan yang hanya diberikan kepada golongan yang sepatutnya bukan golongan kaya.

“Sekarang ini subsidi yang kaya pun dapat. Orang lain 90 peratus yang layak berilah. Ini Mercedes, Rolls-Royce semua dapat subsidi,” ujarnya. – MalaysiaGazette