Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan pembangunan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu iaitu Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, cadangan untuk mewujudkan Pangkalan TLDM yang baharu di Sarawak adalah hasil penilaian strategik berpusat kepada dua perkara utama.

“Iaitu melindungi kepentingan sumber negara serta mempertahankan kedaulatan negara daripada insiden pencerobohan asing,” katanya.

Menurut Mohamad, berdasarkan kajian semasa, Bintulu dinilai sebagai lokasi yang paling sesuai untuk membangunkan sebuah pangkalan tentera laut yang baharu.

Pembangunan tersebut adalah tanda keprihatinan kerajaan sebagai langkah untuk mewujudkan keupayaan kritikal bagi aspek pertahanan maritim khususnya di perairan Sarawak.

Mohamad menjawab soalan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor – PH) secara bertulis yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan apakah Kementerian punya rancangan untuk membangunkan Stesen Luar Pantai di Beting Petinggi Ali.

Ia bagi meletakkan aset-aset tentera negara seperti yang ada di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Menurut Mohamad, Kementerian Pertahanan tidak berhasrat untuk melaksanakan pembangunan di Beting Patinggi Ali.

Tambah beliau, bagi memperkukuhkan aset keselamatan di Sarawak, pihaknya telah menerima perolehan kapal baharu iaitu Littoral Mission Ship Batch 2 (LMBS2) melalui Rolling Plan Ketiga Tahun 2023 baru-baru ini.

“Daripada aspek operasi, TLDM sentiasa memastikan keselamatan perairan negara khasnya dan pertahanan negara umumnya berada di tahap tertinggi dengan pelaksanaan operasi-operasi di perairan negara termasuk di Laut China Selatan.

“Kerjasama TLDM dan APMM melalui Operasi NAGA bertujuan memastikan perairan Zon Maritim Malaysia terjamin dari sebarang pencerobohan oleh bot dan kapal asing.

“Pemantauan dan rondaan yang dilaksanakan adalah secara berterusan sepanjang masa dan aset TLDM/APMM sentiasa memperagakan kehadiran bagi menjaga keselamatan nelayan tempatan dan komuniti maritim yang lain,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast