Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan menganjurkan Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2023 pada 6 Julai ini, akan memperkenalkan teknologi inovatif untuk industri sawit yang dibangunkan oleh penyelidiknya.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB menawarkan teknologi dalam industri sawit yang mempunyai potensi dan nilai pengkomersialan untuk dimanfaatkan oleh penggiat industri dan usahawan tempatan.

TOT ialah acara tahunan MPOB yang bertujuan untuk menghebahkan teknologi dan perkhidmatan terkini hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB kepada usahawan tempatan dan pihak yang berminat untuk meneroka peluang perniagaan berasaskan teknologi dalam industri sawit.

Ahmad Parveez berkata, TOT 2023 akan membuka peluang perniagaan kepada usahawan industri mikro, kecil dan sederhana di Malaysia melalui pengkomersialan teknologi yang ditawarkan MPOB.

Menurut beliau, MPOB komited menjalankan aktiviti R&D bagi menghasilkan teknologi dan inovasi baharu yang memberi manfaat kepada industri sawit negara.

Sehingga tahun 2022, sejumlah 712 teknologi dan 194 perkhidmatan telah dihasilkan melalui aktiviti R&D untuk tujuan pengkomersialan dan diguna pakai oleh pihak industri dan usahawan.

Teknologi yang dibangunkan oleh MPOB merangkumi keseluruhan spektrum industri sawit daripada bahan tanaman kepada produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Rakan industri, usahawan dan orang ramai dipelawa mengunjungi pameran TOT MPOB 2023 dan berinteraksi dengan pempamer di Dewan Sawit, Ibu Pejabat MPOB mulai 11.30 pagi hingga 5 petang dan sertai Sesi Teh Tarik (Sesi perkongsian pengkomersialan teknologi MPOB dan pembiayaan perniagaan) bermula jam 2.15 petang.

Masuk adalah percuma untuk semua pelawat. – MalaysiaGazette