KUALA LUMPUR – Perolehan pertama daripada 18 pesawat pejuang ringan dan latihan lanjutan Fighter Lead-In Trainer- Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) FA-50 yang dibeli daripada Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) dijangka pada 2026.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementerian telah menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan 18 pesawat itu pada 24 Februari lalu.
Ia melibatkan kos pembelian berjumlah RM3.8 billion untuk tempoh lima tahun.
“Pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka akan menerima pesawat pertama pada tahun 2026,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Ywe (Sibu – PH) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan perolehan FA-50 buatan Korea dan kelebihannya dari segi kos, teknikaliti, operasi dan offset program berbanding dengan JF-17 buatan Pakistan.
Mohamad menjelaskan, perolehan pesawat FLIT-LCA telah melalui proses yang panjang dan mengikut prosedur perolehan aset kerajaan semasa.
Ia dimulai dengan pembangunan spesifikasi oleh TUDM hinggalah termeterai Surat Setuju Terima (SST) baru-baru ini.
Berdasarkan penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal Tender (JPTT) yang telah dilantik oleh TUDM keupayaan pesawat FA50 Block 10 menepati keperluan Schedule of Compliance (SOC) dan telah mengatasi prestasi petender-petender yang lain.
“Petender yang tidak melepasi penilaian di peringkat teknikal tidak layak untuk ke peringkat penilaian seterusnya.
“Sehubungan itu, penilaian fizikal tidak akan dilaksanakan terhadap petender yang telah gagal di peringat pertama penilaian teknikal tender,” jelas beliau.
Tambahnya, pesawat FLIT-LCA FA-50M Blok 20 adalah merupakan versi dinaiktaraf daripada FA-50 Blok 10 yang telah terbukti melalui rekod pengoperasian dan latihan serta digunakan oleh Philippine Air Force (PAF) dan Republic Of Korea Air Force (RoKAF).
Platform pesawat FA-50 adalah terbukti dari segi pengoperasian yang mana ia telah digunakan semasa pertempuran di Marawi, Filipina pada tahun 2017.
Pemilihan platform pesawat FLIT-LCA dibuat dengan mematuhi pelbagai lapisan dokumen strategik dan pelbagai proses penilaian serta spesifikasi teknikal yang terperinci dan komprehensif.
Katanya, elemen penting utama KAI FA-50 adalah keupayaan untuk menawarkan satu jenis keseimbangan, platform tempat duduk tandem dengan sistem pelbagai fungsi dan mampu melaksanakan peranan operasi dan latihan secara optimum.-MalaysiaGazette