KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan ada aktiviti judi secara dalam talian mendapat perlindungan daripada ahli politik tertentu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan polis mengesahkan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini terdapat ahli politik mendapat dana daripada syarikat judi.
“Saya imbas (Ahli Parlimen) Tambun pada peringkat awal dia menyebut di Parlimen ini dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuat siasatan kemudiannya tidak ada maklumat yang kolaboratif.
“Tapi di peringkat pasukan polis radar yang kita kesan semua data yang saya sebut tadi ini memang memerlukan pemerhatian berat. Bahkan kita akan semak balik apakah wujud kelulusan lesen-lesen baharu atau wujud atau tidak naungan politik ini membabitkan orang tertentu.
“Ya. Naungan politik kekangan terbesar yang dihadapi oleh KDN, polis dan kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Saifuddin, ahli politik terbabit melindungi sindiket dengan pelbagai cara termasuk memberikan maklumat supaya mereka tidak dapat dikesan dan dikenakan tindakan.
Sementara sindiket pula membalas jasa ahli politik tersebut dengan pelbagai cara.
“Untuk saya berdiri di sini mengatakan Malaysia aktiviti judi dalam talian bebas naungan politik orang akan ketawakan kita. Ya, memang wujud elemen naungan politik ke atas pemain (sindiket).
“Dari situ datangnya pengaruh dan perlindungan, korupsi dan rasuah, tipisnya kehendak politik untuk mengada dan memperbaharui tekad untuk memerangi perkara ini habis-habisan
“Pusingannya ialah pemain (sidiket) dinaungi dan kemudian membalas (jasa) tuan politik. Tuan politik melindungi supaya tindakan tidak diambil. Contoh maklumat dibocorkan. Polis faham sungguh-sungguh corak ini,” katanya.
Beliau menjawab soalah Datuk Ramanan Ramakrishnan (Sungai Buloh-PH) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah-langkah yang diambil KDN bagi menangani aktiviti perjudian dalam talian.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya menyarankan kepada kerajaan untuk meminda akta berkaitan judi yang tidak mengalami sebarang perubahan sehingga menyukarkan tindakan diambil terhadap sindiket judi dalam talian.
“Tadi saya sebut dari segi perundangan Akta 1953 itu 70 tahun kita kena ubah. Akta tak termasuk judi dalam talian sampai hari ini.
“Kelompongan itu menyebabkan pasukan polis tidak ada keupayaan. Banteras buat IP hantar ke AG naik ke mahkamah nak caj bawah apa?
“Akhirnya denda hanya RM50,000 di bawah kesalahan kecil. Itu tidak sepadan kerana industri ini multi bilion,” katanya.-MalaysiaGazette