JOHOR BAHRU – Gunung Ledang yang ditutup sejak setahun lalu kini akan dibuka semula bulan depan.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembukaan itu akan meriahkan dengan Karnival Gunung Ledang.
“Berita baik buat penggemar khazanah alam sekitar! Setelah satu tahun ditutup, InsyaAllah kawasan ini bakal dibuka semula mulai bulan Julai ini, sambil diserikan lagi dengan penganjuran Karnival Gunung Ledang.
“Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang mengadakan Lawatan Kerja ke Air Terjun Gunung Ledang, dan melihat sendiri kerja-kerja naiktaraf serta baikpulih Air Terjun Gunung Ledang.
“Saya gembira dimaklumkan bahawa pengurusan Air Terjun Gunung Ledang turut akan menyediakan tapak pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan juga tapak caravan bagi menambah daya tarikan pelancong ke kawasan ini,” katanya selepas melawat Air Terjun Gunung Ledang hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau melihat sendiri fasiliti di Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda).
“Saya meneliti perlunya perancangan yang rapi untuk menaik taraf chalet dan pondok, demi menarik lebih ramai pengunjung ke taman negara ini.
“Insya Allah, saya akan mengadakan pertemuan bersama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, untuk memperhalusi segala keperluan dan bajet untuk menaiktaraf dan mempromosikan Gunung Ledang ini dengan lebih berkesan,” katanya.
Kerajaan Negeri jelas beliau optimis untuk memastikan gunung tertinggi di Johor ini sentiasa dikunjungi, selain mempergiat promosi Gunung Ledang. -MalaysiaGazette