nasrudin hassan syariat Pas kafir
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas tidak pernah mengkafirkan mana-mana individu atau bersikap angkuh mendakwa bahawa semua pihak adalah salah.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Pas, Nasrudin Hassan berkata, sebaliknya, Pas adalah parti yang terbuka dan semua pihak boleh melihatnya melalui manhaj tarbiyahnya, buku teks dan silibus usrah ahli-ahli Pas, kertas kerja yang dibentang dan dibincang dalam Liqa Fikri Pas serta manhaj dan pendekatan dakwah parti itu.

“Semua pihak boleh menilai secara terus tanpa perlu melalui ‘kaca mata tebal’ yang dipakai oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) atau UMNO yang menjadikan Pas sebagai sasaran peluru tabur mereka hari ini.

“Masyarakat boleh meneliti secara terus, apakah benar Pas parti ekstrem takfiri seperti yang didakwa? Berapa orang sudah menjadi kafir kerana perjuangan Pas sejak enam dekad yang lalu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kritikan terhadap Pas daripada Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali; Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini.

Kelmarin, Mohd Khairuddin ketika mengkritik tulisan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengangkat isu kononnya Pas menganggap siapa jua yang keluar dari Pas adalah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan.

Pada hari yang sama, Mujahid dalam artikelnya menuduh Abdul Hadi sebagai seorang yang sarat dengan pemikiran ekstrem takfiri yang berpotensi mengancam keselamatan negara.

Saifuddin dalam sidang Dewan Rakyat Rabu lalu turut membangkitkan perkara yang sama dengan memberi konotasi yang dikatakan kurang tepat mengenai sokongan terhadap Pas.

Nasrudin menganggap serangan tiga penjuru daripada UMNO, Amanah dan PKR itu membawa naratif yang serupa dan merupakan percubaan nekad untuk menggambarkan bahawa Pas menggunakan agama secara salah, menyesat dan mengkafirkan orang Islam yang lain dan membawa pendekatan ekstrem.

“Membaca dan mengamati tulisan dan kenyataan mereka, saya dapati mereka tidak spesifik menyebut butiran mana, perenggan ke berapa tulisan atau kenyataan Presiden Pas yang mengkafirkan orang Islam atau menyesatkannya.

“Melainkan sekadar mereka mencetus satu persepsi supaya orang ramai turut menganggap Pas sama seperti apa yang mereka anggap.

“Sebab itu mereka juga menggunakan kata pengantar ‘seolah-olah’, ‘menganggap’ dan sebagainya guna mengelirukan pemikiran awam,” jelasnya.

Beliau berpandangan, mereka juga mahu orang ramai menyokong dan mempercayai persepsi yang mereka cetuskan terhadap Pas. – MalaysiaGazette