KUALA LUMPUR – Menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru semua pihak berpolitik dengan matang, berhikmah, profesional dan budiman dalam berkempen dan mengekalkan penyatuan ummah.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, bukan lagi rahsia, insiden bermasam muka, mengelak daripada menyapa, tuduhan kafir mengkafir, enggan berimamkan solat dan pelbagai lagi perkara yang lebih teruk telah berlaku akibat perbezaan politik di negara ini.
Sedangkan yang bermasam muka, yang dikafirkan itu adik beradik, sesama saudara, yang tinggal dalam komuniti bersama.
“Umat Islam di negara ini sememangnya sedar adalah amat merugikan sekiranya silaturahim antara mereka terputus angkara perbezaan politik, namun malangnya ia tetap berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah beliau, Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah bertitah agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik, bahkan baginda mengajak semua pihak membuang agenda retorik perpecahan dengan bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Nor baru baru ini juga menasihatkan supaya umat Islam tidak terlalu ekstrem dalam berpolitik.
Silaturahim tidak harus diputuskan walau dengan apa sebab sekalipun, hatta apabila seseorang disakiti atau dianiaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
“Yadim percaya, umat Islam di negara ini mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai hal ini.
“Selesai pertarungan politik semasa pilihan raya negeri kelak, sama-samalah bekerjasama untuk masyarakat,” katanya sambil menambah meletakkan persaudaraan ummah sewajarnya menjadi keutamaan semua pihak. – MalaysiaGazette