JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mewujudkan mekanisme pembelian tanpa tunai di Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) dalam masa terdekat.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah itu dapat membezakan pembelian antara rakyat tempatan dengan warga asing khususnya warga Singapura.
“Langkah yang bakal diambil kerajaan negeri itu nanti sudah pasti untuk memastikan rakyat kita (tempatan) dapat menikmati sepenuhnya tawaran dan barangan subsidi seperti telur ayam dan ayam segar yang dijual di BRAJ.
“Kita dapati pembeli BRAJ sebagai contoh di Pasar Tani Kekal Datin Halimah di sini, dalam 40 peratus daripada jumlah pengunjung adalah warga Singapura.
“Jika kita menggunakan sistem tunjuk kad pengenalan setiap pengunjung saya rasa ia adalah tidak praktikal. Mungkin kita perlu cari mekanisme bersama FAMA seperti pembelian cashless yang mana rakyat kita akan ada pengenalan diri secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jualan BRAJ di Pasar Tani Kekal Datin Halimah hari ini.
Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, sebanyak RM1.5 juta diperuntuk bagi pelaksanaan Program Jualan BRAJ di 115 lokasi melibatkan Pasar Tani dan Pasar Tani Kekal di Johor.
Peruntukan yang diberikan kepada FAMA itu untuk pelaksanaan BRAJ dan dalam satu bulan empat hingga lima lokasi terlibat.
“Untuk maklumat semua bermula Julai depan kita akan pastikan tujuh hingga lapan lokasi dilaksanakan BRAJ bagi merancakkan lagi program ini,” katanya.
BRAJ yang telah bermula sejak Februari dan akan berakhir pada April tahun depan telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.49 juta setakat Khamis.- MalaysiaGazette