KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC (KFA FC) mengumumkan penyerang utamanya Willian Lira dilepaskan sebelum bermulanya tempoh kedua jendela perpindahan pemain yang akan bermula pada 5 Julai ini
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sang Kenari hari ini, KDA FC dan Lira mencapai persetujuan bersama untuk berpisah selepas melalui beberapa perbincangan mendalam.
“KDA FC bersetuju untuk melepaskan Willain Lira dengan rasa berat hati namun menghormati keputusan pemain untuk membawa haluan berbeza dalam tempoh pertengahan Liga Super ketika nisbah jaringannya cukup baik dalam setiap perlawanan.
“Walaupun penampilannya pada awal musim menerima pelbagai reaksi kurang senang, namun pemain berasal dari Brazil ini tetap bangkit membuktikan ketajaman dengan membantu Sang Kenari mencipta kemenangan.
“Lira adalah penjaring terbanyak Sang Kenari dalam kancah Liga Super setakat 14 perlawanan dengan lapan gol. Ketahanan fizikal, sentiasa bersedia beraksi dalam setiap perlawanan menterjemahkan sikap professionalnya di dalam dan luar padang. Ke mana sahaja anda selepas ini, ingatlah anda selamanya Sang Kenari,” katanya.
Dalam perkembangan sama Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali ketika dihubungi berkata, pelepasan Lira adalah berdasarkan persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak.
“Insya-Allah. Semoga usaha serta proses bagi mendapatkan penyerang pengganti berjalan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette