KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang tidak menolak desas-desus kemungkinan terdapat warlord UMNO di negeri ini akan menyertai pihaknya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi PN Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan UMNO.
“Yang saya pasti ialah, di peringkat akar umbi UMNO Pahang memang ada rasa tidak puas hati terhadap Presiden UMNO. Saya tahu kerana ada antara mereka ni kawan-kawan saya.
“Rungutan itu memang jelas. Ini sampai ke peringkat pimpinan bahagian termasuk ahli jawatankuasa bahagian yang meluahkan keresahan dan kerisauan mereka terutama keadaan UMNO di enam negeri yang bakal menghadapi PRN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu memberitahu, PN Pahang sedang menunggu taklimat selanjutnya daripada Barisan Nasional (BN) berkenaan pelaksanaan pindaan Akta Anti Lompat Parti di negeri ini.
“Kami di PN Pahang menunggu taklimat selanjutnya. Cuma adakah akta ini hendak dibentang kerana takut ada ADUN mereka yang akan melompat, itu saya tidak tahu.
“Kalau ianya hendak dibentangkan, saya berharap agar perbincangan itu dapat dilakukan dengan segera,” katanya lagi.
Mengulas berkenaan PRN yang akan datang, Saifuddin menjelaskan, pihaknya akan menghantar pasukan ke Kelantan, Terengganu dan Selangor bagi membantu kemenangan di tiga negeri terbabit.
Mengikut perkiraan, beliau menjangka PRN akan berlangsung sekitar awal bulan Ogos mengambil kira faktor kepulangan jemaah haji.
“Kelantan dan Terengganu hampir sama keperluannya manakala Selangor mungkin sedikit berbeza kerana komposisi dan profil pengundi mereka.
“Jadi mungkin ada kaedah tertentu untuk kami menghantar team untuk membantu masing-masing,” ulasnya lagi. – MalaysiaGazette
ZAHID HAMIDI tidak hirau siapa pun ahli UMNO keluar parti. yang dia takut adalah DIA DITERAJANG dari menjadi President UMNO. tu takut DIA paling BESAR. Sayonara goodbye Zahid Hamidi after PRN 6 NEGERI